Lebih 300 pelarian Rohingya terkandas di Indonesia

Lebih 300 pelarian Rohingya terkandas di Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDA ACEH: Lebih 300 pelarian Rohingya, kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak terkandas di pantai barat Indonesia selepas bot membawa golongan itu hanyut di laut selama beberapa minggu.

Ia merupakan jumlah terbaharu dalam gelombang ketibaan terbesar sejak tahun 2015.

Seramai 180 pelarian etnik minoriti Myanmar yang menaiki bot tiba pada pukul 3 pagi (waktu tempatan) di sebuah pantai di wilayah Pidie, wilayah Aceh.

Sebuah lagi bot yang membawa 135 pelarian mendarat di wilayah Aceh Besar beberapa jam kemudian selepas terkandas di laut selama lebih sebulan.

Penduduk Rohingya yang kebanyakannya beragama Islam menjadi sasaran tindakan kekerasan tentera Myanmar pada 2017.

Kira-kira sejuta penduduk Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, dan dari sana ribuan mempertaruhkan nyawa mereka dengan melakukan perjalanan laut untuk sampai ke Indonesia.

Rabu lalu, kira-kira 150 penunjuk perasaan di Pulau Sabang di Aceh bertembung dengan polis ketika mereka menggesa pelarian Rohingya dipindahkan.

“Kami terus menjelaskan situasi ini kepada rakyat dan memastikan mereka tidak dibebani dengan pengurusan pelarian,” kata rakan sekutu perlindungan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Faisal Rahman.

Faisal mengakui pusat perlindungan yang ditetapkan melebihi kapasiti namun menyatakan agensi itu dan kerajaan Indonesia sedang berusaha mencari tempat tinggal untuk menempatkan pelarian berkenaan.

“Kerajaan sedang berusaha menyediakan tempat tinggal memandangkan bilangan pelarian yang tiba adalah sangat tinggi,” katanya.

Jumaat lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) memaklumkan bantuan sementara akan disediakan untuk pelarian, dengan keutamaan kepada kepentingan masyarakat setempat.

Beliau juga mengesyaki penyeludupan manusia berada di sebalik peningkatan bilangan pelarian Rohingya menaiki bot dan tiba di negara, serta berjanji akan bekerjasama dengan organisasi antarabangsa untuk menangani isu itu. – AFP

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.