SINGAPURA: Seorang wanita didakwa kerana menjual krim kulit yang mengandungi racun tersenarai termasuk steroid di Shopee kepada pelbagai pengguna di Singapura.
Penguasa Sains Kesihatan Singapura (HSA) telah mengeluarkan amaran mengenai krim yang sama pada Jun tahun lalu.
Amaran itu dikeluarkan selepas penggunaan krim yang diberi nama Star Cream atau “xing xing gao” menyebabkan seorang bayi mengalami Sindrom Cushing.
Menurut HSA, Sindrom Cushing adalah keadaan perubatan serius yang disebabkan oleh penggunaan steroid yang berpanjangan.
Chin Sook Yee, warga Malaysia berusia 30 tahun, menghadapi 11 tuduhan menjual racun-racun tanpa lesen di bawah Akta Racun.
Dia dihadapkan semula ke mahkamah pada Khamis lalu bagi sebutan lanjut kesnya, selepas didakwa pada awal bulan ini.
Menurut kertas pertuduhan, Sook Yee menjual krim itu di Shopee di bawah nama kedai ‘Starcream_homemade official’, kepada empat pembeli antara 1 Januari dengan 30 Mei 2022.
Sebilangan pembeli malah, membeli produk tersebut berulang kali.
Beberapa botol krim tersebut dianalisa dan didapati mengandungi bahan-bahan yang disenaraikan sebagai racun di bawah Akta Racun. Ini termasuk ketocanozole, iaitu ubat untuk jangkitan kulat dengan kesan sampingan seperti rasa terbakar dan menyengat, dan clobetasol propionate, iaitu sejenis steroid kuat.
Jika sabit kesalahan menjual racun tanpa lesen, Sook Yee boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.