RAMALLAH: Ketika gencatan senjata sementara berlaku di Gaza, tentera Zionis ‘mengalihkan keganasan mereka’ ke Tebing Barat dengan menahan puluhan rakyat Palestin tanpa sebab yang kukuh.
Dalam gencatan empat hari pertama yang berlangsung pada Jumaat lalu, Israel membebaskan seramai 150 tahanan Palestin dengan 117 daripadanya adalah kanak-kanak dan 33 wanita.
Hamas pula membebaskan 69 tebusan iaitu 51 warga Israel dan 18 lagi warga negara lain.
Namun, dalam tempoh yang sama, Israel menahan sekurang-kurangnya 133 rakyat Palestin dari Baitulmuqaddis Timur dan Tebing Barat, menurut Persatuan Penjara Palestin.
“Selagi pendudukan ini tidak berakhir, Zionis tidak akan berhenti menangkap rakyat Palestin. Penahanan ini adalah titik pusat kepada penjajahan Israel terhadap bumi Palestin,” kata Amany Sarahneh, jurucakap persatuan tersebut kepada Al Jazeera.
Katanya, penangkapan itu bukan hanya meningkat sejak 7 Oktober lalu, malah sudah berdepan dengan situasi itu sejak beberapa tahun ini, selain menjangkakan lebih banyak penahanan dalam tempoh terdekat.
Keganasan Israel di Gaza meragut lebih 15,000 nyawa penduduk Palestin dengan kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak.
SENGAJA TANGKAP
Di bawah penduduk Israel selama 56 tahun di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur, tentera Zionis melancarkan serbuan setiap malam ke rumah rakyat Palestin dan menahan mana-mana penduduk berusia 15 hingga 20 tahun tanpa sebarang sebab yang kukuh.
Dalam tempoh dua minggu pertama sejak 7 Oktober, Israel menggandakan jumlah tahanan Palestin daripada 5,200 orang kepada lebih 10,000.
Jumlah itu termasuk 4,000 buruh dari Gaza yang bekerja di Israel dan ditahan sebelum dibebaskan semula ke Gaza.
Peguam penjara Palestin dan kumpulan pemerhati merekodkan 3,290 penangkapan oleh tentera Zionis di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur sejak 7 Oktober lalu.
TIADA JAMINAN TERUS BEBAS
Sejak gencatan senjata bermula, jalanan di sekitar Ramallah dibanjiri penduduk Palestin yang meraikan pembebasan tahanan penjara.
Namun, pembebasan itu bukanlah satu jaminan mereka tidak akan lagi ditangkap tentera Zionis.
Hal ini kerana, kebanyakan tahanan yang dibebaskan akan ditangkap semula dalam tempoh beberapa hari, minggu, bulan atau tahun.
Puluhan rakyat Palestin yang ditahan pada pertukaran tahanan antara Hamas-Israel pada 2011 ditangkap semula oleh Zionis dan hukuman mereka ditambah.
Israel juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan untuk memberi jaminan mereka tidak akan menahan semula tahanan yang sudah dibebaskan.
“Tiada jaminan mereka (tahanan) yang dibebaskan akan bebas selamanya. Bila-bila masa sahaja mereka akan ditangkap semula oleh Israel.
“Buktinya boleh dilihat apabila majoriti penduduk yang ditahan kini sebelum ini sudah pun dipenjara dan dibebaskan,” kata Amany.
TAHANAN DISEKSA, DIAIBKAN
Kebanyakan tahanan yang dibebaskan baru-baru ini menceritakan perkara serupa iaitu mereka menerima layanan buruk dan sering diseksa ketika dalam penjara.
Beberapa video juga menunjukkan tahanan Palestin diaibkan dengan mereka dibogelkan, diikat mata dan dipukul oleh polis dan tentera Zionis.
Lebih teruk, Zionis turut menghentikan rawatan kepada tahanan Palestin yang sakit, termasuk mereka yang cedera akibat dipukul selama seminggu sejak 7 Oktober lalu.










