YANGON: Pertempuran terbaharu meletus antara junta tentera dan kumpulan bersenjata etnik minoriti pada minggu ini menyebabkan lebih 26,000 penduduk kehilangan tempat tinggal di Rakhine, barat Myanmar.
Angka itu didedahkan oleh Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA) dalam laporan kemas kini.
Berdasarkan laporan itu, seramai 26,175 penduduk di seluruh Rakhine terpaksa berpindah akibat pertempuran berterusan antara kumpulan Tentera Arakan (AA) dan junta tentera Myanmar.
Isnin lalu, kumpulan gerila AA melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan di Rakhine dan negeri Chin, sekali gus menamatkan gencatan senjata serta membuka barisan baharu untuk rejim ketika pasukan tentera bertempur dengan pihak lawan di utara dan timur.
Menurut UNOCHA, sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dalam serangan junta tentera menyasarkan kedudukan pasukan AA sejak Isnin lalu.
Khamis lalu, tentera Myanmar melancarkan serangan dari udara dan laut dalam usaha menawan semula Pauktaw, kira-kira 25 kilometer (km) barat Sittwe selepas kumpulan gerila AA mengepung balai polis di bandar itu.
Dilaporkan, tentera Myanmar berjaya menguasai bandar itu pada hari yang sama.
Malah, media tempatan yang memetik kenyataan penduduk melaporkan bahawa kira-kira 50 orang ditahan dan sejumlah individu dikhuatiri maut.
UNOCHA mengesahkan sekurang-kurangnya 19,000 orang kehilangan tempat tinggal di Pauktaw.
“Hampir semua jalan raya dan laluan air yang menghubungkan perbandaran Rakhine telah disekat.
“Malah, kebanyakan misi kemanusiaan di bandar yang dilanda konflik itu juga terpaksa diberhentikan sementara,” jelas UNOCHA.
Tambah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, lebih 100 orang ditahan oleh pihak berkuasa junta sejak pertempuran baharu meletus.
Pertempuran antara tentera junta dan kumpulan bersenjata etnik minoriti semakin mengganas sejak beberapa minggu lalu.
Sejak bulan lalu, pasukan AA, menerusi pakatan bersama dua lagi kumpulan bersenjata etnik minoriti bertempur dengan junta di kawasan utara negeri Shan berhampiran sempadan China.
Pakatan itu membabitkan Tentera Perikatan Nasional Demokratik Myanmar (MNDAA), Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta’ang (TNLA) mendakwa mengawal beberapa bandar dan menyekat laluan perdagangan penting ke China. – AFP warta