Penduduk Gaza bersyukur dibawa ke UAE terima rawatan

Penduduk Gaza bersyukur dibawa ke UAE terima rawatan perubatan

SEJUMLAH penduduk Palestin yang dipindahkan dari Gaza tiba di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE). - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EL-ARISH, Mesir: Cedera akibat terkena bedilan udara tentera Zionis di Semenanjung Gaza, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun kini tidak boleh bercakap atau berjalan.

Keadaan yang dialami oleh Mira itu disebabkan oleh pendarahan otak yang dialaminya, selain tengkorak kepalanya juga retak selepas serpihan roket mengenainya pada bulan lalu.

Kini, Mira menjadi satu daripada 80 pesakit dan keluarga mereka yang dipindahkan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari lapangan terbang El-Arish, Mesir berhampiran lintasan Rafah dari Gaza.

“Doktor maklumkan dia perlu mendapat rawatan segera,” kata kakak Mira, Nahil, 35 yang turut menemaninya.

Pemindahan pesakit itu merupakan kali ketiga dilakukan dari Gaza ke UAE sejak serangan 7 Oktober lalu.

UAE merupakan satu daripada beberapa negara Arab yang mengiktiraf hubungan diplomatik dengan Israel, namun keganasan Zionis terhadap rakyat Gaza menyebabkan negara ini bersolidariti dengan Palestin.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah katil di hospital di Gaza menurun daripada 3,500 sebelum perang kepada 1,400, selain terdapat ramai pesakit berbanding katil.

Di utara Gaza, hanya empat hospital kecil daripada 24 pusat perubatan yang masih beroperasi dan menerima kemasukan pesakit, manakala lapan daripada 11 hospital di selatan wilayah itu juga masih beroperasi.

“Tiada ubat, tiada bius, tiada air dan elektrik, namun kini saya lega adik saya boleh terima rawatan yang sewajarnya dan saya harap dia boleh jadi seperti dulu.

“Jika kami terus tunggu di Gaza, mungkin kami akan mati,” ujar Nahil.

Seorang lagi penduduk Gaza yang menaiki pesawat ke UAE adalah Nouzha Fawzi dengan seorang daripada lima anaknya.

Katanya, hanya seorang anaknya dibenarkan menerima rawatan di UAE selepas keadaanya disifatkan kritikal.

Anaknya mengalami masalah darah dan boleh membawa kematian jika cedera. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN