Pembikinan program realiti Squid Game berdepan cabaran

Pembikinan program realiti Squid Game berdepan cabaran

PROGRAM realiti Squid Game: The Challenge menawarkan hadiah utama berjumlah AS$4.56 juta. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Penerbit program realiti Squid Game, Stephen Lambert mengakui proses pembikinan rancangan terbaharu itu berdepan pelbagai cabaran termasuk kebimbangan mengenai cara `menembak’ peserta bagi menampakkannya realistik sepertimana drama bersiri popular Korea Selatan itu.

The Guardian melaporkan Squid Game: The Challenge bakal menyaksikan 456 peserta dari seluruh negara bersaing dalam pelbagai permainan bagi memenangi hadiah utama wang tunai bernilai jutaan dolar.

“Sudah tentu, program realiti ini merupakan projek yang sangat luar biasa. 

“Namun, dengan adanya drama bersiri popular itu termasuk permainan yang boleh dimainkan secara nyata, kami jangka mampu mencapai kejayaan. Meskipun, ia menimbulkan banyak masalah,” katanya.

Rancangan realiti baharu itu turut merangkumi permainan seperti Red Light dan Green Light yang mana peserta dikatakan akan kalah selepas terkena tembakan mesin sekiranya mereka dikesan bergerak apabila anak patung gergasi berhenti berpusing dan menyanyi.

Kata Lambert, pada mulanya, semua bersetuju bahawa ia bukan idea yang baik untuk `menembak’ peserta.

Malah, beliau berkata, pasukan produksinya turut memikirkan cara untuk menggambarkan adegan `menembak’ peserta yang kalah dengan mengambil kira isu  insiden tembakan di sekolah Amerika Syarikat (AS) yang kerap berlaku dan beberapa konflik global termasuk di Ukraine dan Asia Barat.

“Jadi, kami memutuskan squibs dipakai oleh peserta akan meletup apabila mereka tersingkir dari permainan, malah cecair keluar itu berwarna hitam dan bukannya merah yang menampakkannya seperti darah,” katanya.   

Dilaporkan, Squid Game: The Challenge menawarkan hadiah utama berjumlah AS$4.56 juta (RM20 juta).

Rancangan tersebut akan menjalani penggambaran selama empat minggu yang melibatkan 456 peserta bersaing dalam 10 episod.

Mei lalu, Netflix dalam satu kenyataan memaklumkan program realiti Squid Game akan disiarkan pada November 2023.

Squid Game merupakan siri Netflix paling berjaya dalam sejarah yang ditonton lebih 142 juta orang selepas empat minggu ditayangkan pada 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN