NEW YORK: Jumlah kematian penduduk awam yang semakin meningkat di Semenanjung Gaza secara tidak langsung menunjukkan ‘terdapat sesuatu yang salah dengan operasi ketenteraan Israel menentang Hamas’.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres selepas Israel berikrar menghapuskan Hamas yang mentadbir Semenanjung Gaza berikutan serangan mengejut kumpulan pejuang itu di wilayah Israel pada 7 Oktober lalu.
Pegawai Palestin berkata, setakat ini seramai 10,569 orang terbunuh dalam serangan balas di Gaza dan daripada jumlah itu, 40 peratus melibatkan kanak-kanak.
“Apabila kita melihat jumlah orang awam yang terbunuh dengan operasi ketenteraan Israel, ada sesuatu yang tidak kena.
“Operasi ketenteraan Israel di Gaza perlu dinilai semula kerana kemusnahan dan kematian yang berlaku ketika ini sukar diungkap dengan kata-kata,” kata Guterres.
Dalam pada itu, Guterres turut mengecam Hamas dan mendakwa kumpulan pejuang itu menggunakan penduduk Gaza sebagai perisai manusia.
Katanya, perlu dibezakan antara hamas dengan penduduk Palestin.
“Jika tidak membuat perbezaan itu, saya fikir kita akan hilang maksud kemanusiaan,’ ujarnya.
Selain itu, beliau turut membandingkan jumlah kanak-kanak yang terbunuh di Gaza dengan jumlah korban dalam konflik di seluruh dunia yang dilaporkannya setiap tahun kepada Majlis Keselamatan PBB.
Isnin lalu, Guterres menyifatkan Gaza seperti tanah perkuburan untuk kanak-kanak dengan hampir 4,000 dilaporkan terbunuh sejak 7 Oktober lalu.
“Dengan jumlah kematian direkodkan, dengan menyaksikan kanak-kanak tidak berdosa, tidak mempunyai senjata turut menjadi mangsa, adakah ini perkara yang betul? Pasti ada salahnya,” ujarnya. – REUTERS