KAHERAH: Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly mengulangi pendirian negaranya menolak langkah pemindahan secara paksa membabitkan jutaan rakyat Palestin dari Gaza ke Semenanjung Sinai.
Malah, beliau turut menegaskan Mesir bersedia untuk `mengorbankan berjuta-juta nyawa’ agar tiada mana-mana individu mendekati wilayah berkenaan.
“Mesir tidak akan sesekali membenarkan apa-apa berlaku di rantau tersebut,” katanya ketika berucap semasa lawatannya ke al-Arish di utara Sinai.
Kenyataan Mostafa merujuk kepada laporan media Israel yang mendedahkan tentera Zionis kini dalam perancangan untuk memindahkan 2.3 juta penduduk awam di Gaza ke Semenanjung Sinai.
Perkara itu didedahkan menerusi satu dokumen yang mengandungi usul untuk memindahkan kesemua penduduk Gaza ke ‘bandar khemah’ buat sementara waktu sebelum berpindah ke bandar tetap yang dibangunkan di kawasan Sinai Utara.
Usul itu yang dibentangkan pada 13 Oktober lalu turut mengandungi perancangan untuk menubuhkan zon penampan beberapa kilometer di dalam Mesir yang menyaksikan penduduk Gaza tidak boleh keluar dari kawasan tersebut.
Laporan pelan Israel turut mendapat kecaman daripada rakyat Palestin, selain meningkatkan lagi ketegangan dengan Kaherah.
Sementara itu, Komander Tentera Medan Kedua Mesir, Mohamed Rabie menegaskan pasukan tenteranya bersedia untuk menjalankan sebarang misi diberikan untuk melindungi keselamatan negara di arah strategik timur laut. – AP/AGENSI










