JAKARTA: Menteri-menteri luar ASEAN secara kolektif menggesa semua pihak di Myanmar supaya membolehkan penghantaran pulang rakyat negara masing-masing yang terperangkap di tengah-tengah konflik, khususnya di wilayah Shan Utara.
Sambil mengiktiraf usaha pemindahan pihak berkuasa Myanmar, mereka turut menekankan betapa pentingnya bantuan kemanusiaan yang diselaraskan dan pemindahan pantas hasil kerjasama kedutaan negara-negara anggota ASEAN.
Dalam kenyataan itu, para menteri turut menyuarakan kebimbangan terhadap konflik yang semakin memuncak, sambil menyeru semua pihak untuk menghentikan keganasan, menegakkan undang-undang kemanusiaan dan melindungi orang awam.
“Kami menyeru pihak berkuasa Myanmar dan pihak-pihak berkaitan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan segera dan memastikan laluan pantas dan selamat untuk penghantaran pulang warga asing yang terkandas,” menurut kenyataan itu.
Menteri-menteri itu juga menegaskan komitmen terhadap penyelesaian aman kepada pergolakan di Myanmar melalui Konsensus Lima Perkara, sambil menekankan kepentingan Myanmar yang damai dan bersatu demi kepentingan ASEAN.










