Kumpulan Muslim Thai berunding dengan Hamas bebaskan lebih ramai tebusan - Utusan Malaysia

Kumpulan Muslim Thai berunding dengan Hamas bebaskan lebih ramai tebusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Sebuah kumpulan Muslim Thai menegaskan pihaknya berunding secara langsung dengan Hamas untuk pembebasan tebusan Thai dari Gaza ketika gencatan sementara berlangsung.

Perkara itu sekaligus menolak laporan yang memberi kredit kepada Kementerian Luar dan perunding lain.

Susulan itu, tiga tebusan Thai yang ditahan oleh pejuang Hamas sudah dibebaskan dari Gaza semalam, menjadikan jumlah warga Thailand yang dibebaskan sejak gencatan senjata selama empat hari bermula pada Jumaat kepada 17 orang.

Presiden Persatuan Alumni Thai-Iran, Lerpong Syed, berkata mereka adalah satu-satunya pihak yang bercakap dengan Hamas sejak awal perang untuk meminta pembebasan warga Thai.

“Jika Thailand hanya bergantung kepada Kementerian Luar atau meminta bantuan negara lain, peluang untuk dibebaskan dengan kumpulan pertama adalah sangat rendah,” katanya sambil menambah bahawa negara lain yang mempunyai tebusan seperti Amerika Syarikat, Jerman dan Perancis lebih banyak pengaruh.

Lerpong adalah sebahagian daripada kumpulan Muslim Thai yang dipanggil oleh Speaker Parlimen negara itu, Wan Muhammad Noor Matha, yang pergi ke Tehran pada Oktober dan bercakap dengan wakil Hamas.

Kumpulan itu menyampaikan kepada Hamas semasa mesyuarat selama tiga jam bahawa rakyat Thai tidak terbabit dalam konflik itu dan harus dibebaskan.

Kumpulan Hamas memberi jaminan bahawa rakyat Thailand akan dibebaskan terlebih dahulu dan tanpa syarat sebaik sahaja gencatan senjata.

Gencatan senjata sementara itu adalah pertama kali dalam pertempuran tujuh minggu.

Sebelum perang, kira-kira 30,000 buruh Thailand bekerja di sektor pertanian Israel, membentuk satu kumpulan pekerja asing terbesar di negara itu.

“Pasukan kami mencapai titik yang betul dari awal dengan pergi ke Iran dan bercakap terus dengan Hamas,” kata seorang lagi ahli kumpulan Thai, ahli politik veteran, Areepen Uttarasin.

Iran berkata, ia memudahkan pembebasan itu, manakala Hamas berkata pembebasan itu adalah atas usaha Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, bagi baki 15 tebusan Thai, Kerajaan Diraja Thai akan terus melakukan segala usaha ke arah pembebasan mereka dengan selamat pada peluang yang akan datang.

Ketika ditanya mengenai usaha selari, Lerpong berkata, tanggungjawabnya ialah membawa pulang rakyat Thailand dan jika kerajaan mahu bersuara, itu tidak mengapa dan menganggap misi berjaya dicapai.

Penduduk Thailand yang berjumlah 70 juta kebanyakannya beragama Buddha dan sebahagian besarnya hidup bersama secara aman dengan minoriti Islam. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN