GAZA CITY: Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) mengesahkan konvoi misi bantuan kemanusiaan yang membawa bekalan perubatan diserang di bandar Gaza.
Menurut ICRC dalam kenyataan, konvoi lima trak dan dua kenderaan Palang Merah itu diserang ketika dalam perjalanan membawa bekalan ke beberapa pusat kesihatan termasuk hospital Al-Quds.
Jelas kenyataan itu, dua trak rosak dan seorang pemandu cedera dalam kejadian tersebut.
Bagaimanapun, ICRC tidak menyatakan pihak yang menyerang konvoi misi bantuan kemanusiaan itu atau dari arah mana mereka diserang.
“Keadaan seperti ini amat berbahaya bagi pekerja misi kemanusiaan.
“Kami sedang berusaha membawa bantuan segera kepada orang awam yang amat memerlukan.
“Dengan memastikan bantuan penting dapat sampai ke pusat kesihatan merupakan kewajipan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” kata ketua sub-delegasi ICRC Gaza, William Schomburg.
Selepas serangan itu, konvoi misi bantuan kemanusiaan mengubah laluannya dan sampai ke hospital Al-Shifa untuk menghantar bekalan perubatan, jelas ICRC.
“Kemudian, konvoi ICRC mengiringi enam ambulans dengan pesakit parah ke lintasan Rafah ke Mesir,” jelas kenyataan itu. – AFP