Konflik Myanmar semakin sukar ditangani ASEAN - Utusan Malaysia

Konflik Myanmar semakin sukar ditangani ASEAN

FERDINAND MARCOS JR.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. menegaskan, konflik di Myanmar yang dikuasai tentera menjadi isu yang sukar untuk ditangani oleh ASEAN dengan hanya sedikit kemajuan dicapai ke arah penyelesaian dan pertempuran yang dilihat semakin sengit.

Bercakap pada forum di Hawaii yang disiarkan secara langsung di Filipina, Marcos Jr. berkata, terdapat komitmen daripada negara-negara ASEAN tetapi isu itu terlalu rumit, termasuk kesan kemanusiaannya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal sejak tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa pada 2021, menjejaskan demokrasi sehingga menjerumuskan negara itu ke dalam konflik serta kehancuran ekonomi.

“Terdapat dorongan besar bagi ASEAN untuk menyelesaikan masalah ini. Tetapi ia adalah masalah yang sangat-sangat sukar,” katanya.

Tindakan kejam junta selepas rampasan kuasa ke atas pihak lawan menimbulkan gerakan penentangan yang semakin kuat.

ASEAN dilaporkan menghalang jeneral tertinggi negara itu daripada menghadiri sebarang mesyuarat sehingga mereka komited kepada pelan hala tuju keamanan blok itu yang sudah dirangka sejak dua tahun lalu.

Filipina akan mempengerusikan ASEAN pada 2026 selepas dipilih menggantikan Myanmar sebagai tuan rumah pada tahun tersebut.

Berpuluh-puluh ribu lagi penduduk Myanmar dilaporkan kehilangan tempat tinggal sejak bulan lalu ketika tentera berdepan serangan yang diselaraskan oleh pakatan tiga kumpulan etnik minoriti dan pejuang pro-demokrasi.

Marcos Jr. yang memetik analisis konflik terbaharu berkata, junta sudah kehilangan sokongan daripada anggota tenteranya sendiri.

Beliau berkata, isu kemanusiaan akibat konflik di Myanmar juga semakin bertambah buruk sejak beberapa tahun lalu dengan rakyat Filipina turut menjadi antara mangsa pemerdagangan manusia di negara itu.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya