Jordan tingkat kawalan ketenteraan di sempadan Israel

Jordan tingkat kawalan ketenteraan di sempadan Israel

TENTERA berkawal semasa latihan ketenteraan di lokasi yang tidak didedahkan di Jordan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMMAN: Jordan meningkatkan kehadiran tenteranya di sepanjang sempadan dengan Israel dan memberi amaran, sebarang percubaan rejim Zionis untuk memaksa rakyat Palestin menyeberangi Sungai Jordan akan dianggap sebagai pelanggaran perjanjian damai yang sudah dimeterai.

Perdana Menteri, Bisher Khasawneh berkata, negaranya akan menggunakan semua cara dalam kuasanya untuk menghalang Israel daripada melaksanakan sebarang dasar pemindahan bagi mengusir rakyat Palestin secara beramai-ramai dari Tebing Barat.

Konflik Israel-Gaza menimbulkan ketakutan berpanjangan di Jordan yang turut menerima populasi besar pelarian Palestin dan keturunan mereka.

“Jordan menganggap sebarang perpindahan atau mewujudkan keadaan yang akan menjurus ke arahnya sebagai pengisytiharan perang dan merupakan pelanggaran material perjanjian damai.

“Ini akan membawa kepada pembubaran perjuangan Palestin dan menjejaskan keselamatan negara Jordan,” kata Bisher merujuk kepada perjanjian damai 1994 dengan Israel.

Jordan merupakan negara Arab kedua selepas Mesir yang menandatangani perjanjian damai dan mempunyai hubungan keselamatan yang kukuh dengan Israel.

Tetapi hubungan itu merudum sejak kedatangan kerajaan berhaluan kanan dalam sejarah Israel.

“Perjanjian damai itu hanya akan menjadi sekeping kertas di atas rak yang diselaputi debu jika Israel tidak menghormati kewajipannya dan melanggarnya.

“Sebarang ancaman terhadap keselamatan negara Jordan akan meletakkan semua pilihan di atas meja. Penempatan tentera di sepanjang sempadan dengan Israel adalah sebahagian daripada langkah untuk melindungi keselamatan negara,” tegas Bisher.

Penduduk dan saksi melihat sejumlah besar kenderaan berperisai dan kereta kebal bergerak di sepanjang lebuh raya utama menuju ke Lembah Jordan bertentangan dengan Tebing Barat sejak beberapa hari lalu.

Pegawai berkata, tentera sudah berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk sebarang kemungkinan.

Bisher berkata, tindakan Israel di Tebing Barat boleh mencetuskan keganasan yang lebih meluas, memetik serangan peneroka Yahudi yang semakin meningkat ke atas orang awam Palestin sejak serangan 7 Oktober lalu.

“Israel harus mengelak daripada sebarang peningkatan konflik di Tebing Barat. Ini adalah garis merah yang tidak akan diterima oleh Jordan,” tambah beliau.

Washington turut menggesa Israel mengekang keganasan penerokanya bagi mengelak konflik yang lebih meluas.-REUTERS

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.