Hanya tiga hospital masih beroperasi di Gaza - Utusan Malaysia

Hanya tiga hospital masih beroperasi di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: ‘Malapetaka dahsyat’ adalah istilah paling tepat untuk menggambarkan situasi kesihatan di Semenanjung Gaza ketika gencatan senjata dilanjutkan dua hari lagi

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Munir al-Bursh menekankan keperluan mendesak untuk menyediakan komponen kesihatan penting yang amat diperlukan ketika ini.

“Jumlah bantuan perubatan dan bahan api yang tiba di wilayah ini terutamanya di kawasan utara sangat terhad serta tidak mencukupi untuk menampung keadaan hospital yang sudah lumpuh,” kata beliau.

Menurutnya, bekalan ubat-ubatan perlu dihantar dalam kuantiti yang banyak kerana bencana kesihatan di Gaza semakin meruncing.

“Ketika ini, hanya tiga hospital yang masih beroperasi iaitu al-Maamadani, al-Awda dan Kamal Adwan yang memberi bantuan kepada kira-kira 900,000 orang.

“Ketiga-tiga kemudahan perubatan itu juga berada di ambang kehancuran,” ujarnya sambil menambah sistem kesihatan di Gaza dan bahagian utara wilayah itu perlu diperkukuhkan setelah ia menjadi sasaran kempen pengeboman ganas rejim Zionis sejak tujuh minggu lalu.

Pada Khamis lalu, Pejabat Media di bawah pentadbiran Hamas di Gaza memaklumkan kira-kira 26 daripada 55 pusat kesihatan tidak lagi beroperasi di wilayah itu yang berdepan kepungan menyeluruh.

Sebanyak 55 ambulans turut menjadi sasaran bedilan rejim Zionis manakala puluhan yang lain tidak lagi dapat digunakan kerana kekurangan bekalan bahan api.

Data Kementerian Kesihatan juga mendapati lebih 200 petugas perubatan terkorban berikutan kemudahan perubatan terus dihujani bom.

Sejak dua minggu lalu, Hospital al-Shifa telah menjadi ‘medan pertempuran’ sengit hingga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggelar kompleks perubatan terbesar di Gaza itu sebagai ‘zon kematian’.

Pada 18 November lalu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sekali lagi mengeluarkan arahan gila mengarahkan pemindahan pesakit termasuk yang kritikal dari al-Shifa selepas bahagian bawah tanah kompleks itu didakwa menempatkan pusat perintah dan operasi pejuang Hamas.Tuduhan tidak berasas itu berulang kali dinafikan Hamas dan pegawai hospital berkenaan.

Tindakan paling tidak masuk akal apabila IDF sewenang-wenangnya menahan pengarah al-Shifa, Muhammad Abu Salmiya tanpa alasan kukuh.

Sementara itu, WHO memberitahu, ia merekodkan 335 insiden serangan ke atas kompleks kesihatan di wilayah Palestin sejak 7 Oktober lalu termasuk 164 kejadian di Genting Gaza dan 171 dilaporkan di Tebing Barat.

Serangan membabi buta itu telah menyebabkan pemindahan beramai-ramai secara paksa dan kematian melibatkan pesakit dan kumpulan penduduk yang berlindung di kemudahan berkenaan sejak lebih 40 hari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN