Hamas tolak kerajaan boneka, ikrar terus mentadbir Gaza - Utusan Malaysia

Hamas tolak kerajaan boneka, ikrar terus mentadbir Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Hamas tidak akan menerima kerajaan boneka di Semenanjung Gaza dan akan kekal mentadbir di wilayah itu, kata seorang pemimpin kumpulan Islam Palestin itu di Lubnan, Osama Hamdan, semalam.

Israel sebelum ini berkata, pihaknya berhasrat memusnahkan Hamas sebagai tindak balas terhadap serangan kumpulan itu pada 7 Oktober lalu, yang menurut dakwaan pegawai Israel, mengakibatkan sekurang-kurangnya 1,400 orang terbunuh.

“Bagi mereka yang berfikir bahawa Hamas akan lenyap, Hamas akan tetap berakar umbi dalam hati nurani rakyat kita, dan tiada kuasa di bumi boleh memusnahkan atau pinggirkan Hamas,” katanya dalam satu sidang akhbar.

Pegawai kanan Hamas berkata, sekutu Israel, Amerika Syarikat (AS), merancang untuk menggantikan pemerintahannya di Gaza, dan menyamakan langkah itu dengan negara boneka Nazi Jerman di Perancis ketika Perang Dunia Kedua.

“Rakyat kita tidak akan membenarkan AS melaksanakan pelan untuk mewujudkan pentadbiran yang sesuai dengannya dan yang sesuai dengan pendudukan (Israel), rakyat kita tidak akan menerima kerajaan baharu.

“Kami ingin mengingatkan, memberi amaran kepada mereka yang ingin menggulingkan Hamas… yang juga sebahagian daripada rakyat Palestin,” katanya.

Minggu lalu, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, memberitahu Kongres bahawa pada satu ketika, Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang diketuai Presiden Palestin, Mahmud Abbas, harus mengawal Semenanjung Gaza.

Blinken berkata, pihak ketiga antarabangsa mungkin boleh memainkan peranan dalam tempoh campur tangan terbabit.

Abbas, pemimpin parti Fatah yang juga saingan kepada Hamas, pada Ahad berkata, Semenanjung Gaza adalah sebahagian daripada negara Palestin, walaupun PA dihalau keluar dari Gaza oleh Hamas pada 2007.

“Kami akan memikul sepenuhnya tanggungjawab dalam rangka kerja penyelesaian politik yang komprehensif merangkumi semua Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis timur dan Semenanjung Gaza, kawasan yang dicadangkan PA untuk sebuah negara Palestin,” kata Abbas selepas Blinken melawat Ramallah. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN