BEIRUT: Tentera Israel dilaporkan tidak berganjak dari kawasan yang diduduki mereka di utara Lubnan, iaitu di wilayah merentasi sempadan dua negara yang sekian lama dipertikaikan dengan Hezbollah.
Situasi tegang antara Israel dan Hezbollah memuncak sejak pejuang Hamas menyerang penempatan Israel pada 7 Oktober lalu, menyaksikan Hezbollah turut meningkatkan serangan terhadap tentera Zionis.
Biarpun gencatan senjata diumumkan di Gaza sejak Jumaat lalu, sempadan Israel-Lubnan terus menyaksikan pertempuran sengit hampir setiap hari dengan kumpulan pejuang yang disokong Iran itu.
Tentera Israel yang ditempatkan di utara negara itu bersemangat tinggi, menurut Yoshiahu, iaitu seorang anggota tentera Zionis berusia 27 tahun.
“Kami pasti akan berdepan sesuatu yang sengit lagi dahsyat kerana ketegangan semakin meningkat,” katanya.
Dalam tempoh hampir dua bulan ini, Yoshiahu berkata, dia melakukan rondaan di sebahagian besar daripada apa yang dipanggil Blue Line, kira-kira 80 kilometer (km) dari persempadanan semula ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) antara Lubnan dan Israel.
Kebimbangan Israel tertumpu pada pencerobohan oleh pejuang bersenjata dan dron, yang menurut pihak tentera sudah pun berlaku berulang kali.
Hampir semua orang awam yang tinggal di sepanjang sempadan utara sudah dipindahkan oleh tentera dan kibbutz atau ladang komuniti Galilee Menara, antara penempatan paling dekat dengan garis persempadanan, kini lengang.
Gencatan senjata sementara yang dicapai antara Israel dan Hamas di Gaza hanya mengurangkan sedikit siri berbalas tembakan di utara.
Di sepanjang sempadan, askar Israel yang ditemui AFP mengulangi ungkapan sama iaitu mereka tidak mahu memulakan pertempuran dengan Hezbollah, tetapi hanya ‘mempertahankan’ negara haram mereka.
Pertempuran antara tentera Israel dan Hezbollah menyebabkan sekurang-kurangnya 109 maut di sempadan Lubnan, kebanyakannya pejuang serta tiga wartawan.
Israel pula kehilangan sekurang-kurangnya sembilan orang, enam daripadanya askar. – AFP










