Duta Israel minta negara asing hantar kapal hospital bantu penduduk Gaza - Utusan Malaysia

Duta Israel minta negara asing hantar kapal hospital bantu penduduk Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel meminta negara asing menghantar kapal hospital bergerak bagi membantu merawat rakyat Palestin yang cedera dan kini berada di Mesir, selepas dibenarkan meninggalkan Semenanjung Gaza.

Duta Israel di Jerman, Ron Prosor, berkata pihaknya juga sudah mengemukakan permintaan sedemikian kepada Berlin, ketika ditemubual siaran awam Israel di radio Kan.

Prosor berkata demikian ketika ditanya sama ada Israel sudah meminta Perancis dan negara Eropah lain bagi menghantar hospital bergerak menggunakan kapal untuk merawat penduduk Gaza yang cedera di Al-Arish, pelabuhan Mesir berhampiran Palestin.

Prosor, yang juga bekas ketua pengarah Kementerian Luar Israel, turut menyifatkan tindakan terbabit sebagai langkah yang betul dan sepatutnya dilakukan.

“Kami sudah memintanya dan saya rasa ia sedang dibincangkan, namun tidak tahu jika ia sudah dilaksanakan.

“Dalam pada itu, terdapat kecenderungan di Eropah untuk membantu berhubung isu membabitkan hal kemanusiaan dalam apa juga cara yang mungkin,” katanya.

Pada masa sama, Prosor berkata Israel juga meminta Itali menghantar bantuan kapal hospital tetapi masih belum memperoleh jawapan.

Minggu lalu, Perancis menghantar kapal tentera laut, Tonnerre ke timur Mediterranean bagi misi untuk menyokong hospital Gaza.

Ia susulan Mesir mula mengakui keupayaan merawat bilangan mangsa cedera yang merentasi sempadan Gaza adalah terhad.

Menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Jerman, Berlin berhubung rapat dengan rakan kongsinya, Israel, dan setiap permintaan akan dikaji dengan teliti.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai permintaan khusus untuk kapal dengan kemudahan hospital.

Sementara itu, menurut sumber tentera Perancis, Tonnerre, yang mempunyai kira-kira 60 katil dan dua blok operasi, hanya boleh digunakan buat sementara waktu serta boleh berfungsi sebagai sokongan untuk hospital yang lebih besar di darat.

“Kapasiti sokongan perubatan kapal membolehkan tindak balas yang cepat, namun ia hanya hanya sementara sebagai pelengkap kepada pembinaan hospital yang lebih besar,” katanya.

Menurut sumber itu, pada peringkat ini Tonnerre kekal berada di luar pantai Cyprus dan tiada keputusan dibuat untuk melabuhkan kapal itu dan bagaimana ia akan digunakan.

Katanya, keutamaan bagi Perancis kini adalah untuk menyediakan bantuan kemanusiaan melalui pengangkutan udara di Mesir.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Perancis, Sebastien Lecornu, pula berkata Paris memutuskan untuk menghantar kapal pengangkut helikopter, Dixmude, buat kali kedua ke wilayah itu dan ia sedang diubah menjadi kapal hospital.

Beliau berkata, pihaknya berharap keputusan Perancis untuk menghantar kapal itu akan menggalakkan pihak lain untuk melakukan perkara sama.

“Ia dibuat kerana kita tidak boleh membiarkan penduduk awam terdedah kepada bahaya, terutama sekali, tanpa penyelesaian penjagaan kesihatan,” katanya kepada radio Info France. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya