SYDNEY: Australia akan mengharamkan import vape pakai buang bermula Januari depan dalam usaha mengekang ketagihan nikotin dalam kalangan generasi muda.
Menteri Kesihatan, Mark Butler dalam kenyataannya berkata, larangan itu akan diperluaskan pada Mac untuk merangkumi semua jenis vape bukan terapeutik, termasuk peranti boleh diisi semula.
Undang-undang baharu untuk menghentikan vape sekali guna daripada dibuat, diiklankan dan dibekalkan di negara itu juga akan diperkenalkan.
Pengimport dan pengilang yang membekalkan vape terapeutik juga perlu mematuhi peraturan kerajaan yang lebih ketat mengenai perisa, tahap nikotin dan pembungkusan produk mereka.
Selain itu, katanya, pengimport vape bagi tujuan perubatan juga memerlukan permit daripada Pejabat Kawalan Dadah.
Pakej perundangan itu juga akan merangkumi AUD$75 juta (RM232 juta) sebagai pembiayaan tambahan untuk Pasukan Sempadan Australia dan Pentadbiran Barangan Terapeutik menguatkuasakan peraturan baharu itu.
Undang-undang tambahan berkuatkuasa tahun depan itu juga akan mengguna pakai larangan sama terhadap pengeluar domestik.
“Ada vape yang mempunyai gambar ‘unicorn’ merah jambu pada perantinya atau perisa gula-gula getah, supaya ia dapat disembunyikan dengan mudah dalam bekas pensil.
“Ini bukan kebaikan terapeutik untuk membantu perokok tegar menghentikan tabiat merokok. Ini sengaja menyasarkan golongan muda untuk mempengaruhi mereka menjadi ketagih kepada nikotin,” kata Butler dalam sidang akhbar.
Menurut data kerajaan, amalan menghisap vape di Australia berkembang pesat terutama dalam kalangan golongan muda dengan melibatkan satu dalam lima orang berumur 18 hingga 24 tahun.
Bagi memastikan larangan itu tidak mengehadkan akses bagi perokok yang ingin berhenti, doktor dan jururawat akan diberi kuasa yang diperluaskan mulai Januari untuk menetapkan penggunaan vape terapeutik di mana sesuai secara klinikal.
Bagaimanapun, vape terapeutik akan dihadkan daripada menggunakan perisa, mempunyai tahap nikotin terhad dan dijual dalam pembungkusan farmaseutikal di bawah peraturan baharu yang akan diperkenalkan tahun depan.