237 jadi mangsa penipuan WhatsApp Web palsu di Singapura - Utusan Malaysia

237 jadi mangsa penipuan WhatsApp Web palsu di Singapura

SUSPEK menguasai akaun WhatsApp selepas pengguna klik pada pautan URL yang tidak disahkan semasa mencari halaman web rasmi WhatsApp. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Sekurang-kurangnya 237 individu terjerumus dalam sindiket penipuan pancingan data membabitkan halaman WhatsApp Web palsu sejak awal bulan ini.

Lapor The Straits Times, polis menerusi kenyataan memaklumkan jumlah kerugian keseluruhan mangsa penipuan itu mencecah $606,000 (RM2.1 juta).

Dalam kes itu, suspek mula-mula menguasai akaun WhatsApp yang terjejas selepas pengguna klik pada pautan URL yang tidak disahkan ketika mencari halaman web rasmi WhatsApp.

“Penyamar sebagai pengguna akaun asal, suspek kemudian menghubungi keluarga atau rakan pengguna yang tersenarai dalam senarai kenalan akaun untuk meminta pinjaman,” jelas laporan.

Jelas laporan itu, suspek biasanya mendakwa mereka memerlukan wang itu untuk diri sendiri bagi membuat bayaran pembelian atau membantu rakan atau saudara mara yang mengalami masalah kewangan.

Misalnya, suspek mungkin mendakwa mereka perlu melakukan bayaran untuk hal kecemasan seperti perubatan namun akaun bank mereka telah disekat kerana melebihi had pemindahan.

Malah, ada juga suspek mungkin meminta kenalan memuat naik tangkapan skrin yang menunjukkan pemindahan untuk meminta lebih banyak wang kemudian.

Kenalan itu kemudian diminta memindahkan wang ke akaun bank yang tidak dikenali atau nombor PayNow yang kononnya milik pengguna akaun asal.

“Mangsa menyedari mereka ditipu selepas menghubungi atau dihubungi oleh keluarga atau rakan mereka yang mendakwa tidak menerima sebarang wang,” kata polis.

Justeru, polis menasihatkan orang ramai mengamalkan langkah keselamatan seperti mengaktifkan ciri pengesahan dua langkah WhatsApp dan memastikan hanya menggunakan laman web rasmi WhatsApp Web.

Orang ramai juga diminta berwaspada terhadap sebarang permintaan luar biasa yang diterima pada platform pemesejan.

“Mereka juga perlu mengelak daripada berkongsi kod pengesahan akaun WhatsApp dan menyemak peranti dipautkan di WhatsApp dengan kerap,” kata polis.

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.