BAITULMUQADDIS: Kementerian Pertahanan Israel memberitahu semua pasukan tenteranya yang berkumpul di sempadan Semenanjung Gaza bahawa mereka bakal ‘melihat wilayah itu dari dalam’ tidak lama lagi.
Perkara itu dimaklumkan oleh menterinya, Yoav Gallant, sekali gus menggambarkan Zionis masih merancang untuk melancarkan serangan darat di Gaza.
Kelmarin, tentera Israel terus membeil Gaza dengan sejumlah serangan udara.
Pendudukan Zionis di bumi Palestin menyaksikan 2.3 juta penduduk Gaza terkepung dan konflik yang berlaku menyebabkan ribuan orang terbunuh dan lebih sejuta hilang tempat tinggal.
“Sebelum ini, anda melihat Gaza dari jauh dan tidak lama lagi, anda akan lihat Gaza dari dalam wilayah itu sendiri,” kata Gallant sambil menyifatkan perang tersebut akan berlangsung lama dan sukar.
Buat masa ini, tentera Israel dijangka tidak akan menceroboh Gaza berikutan banyak pemimpin dunia melawat Israel.
Tidak lama selepas Gallant membuat kenyataan tersebut, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkongsi video menunjukkan beliau bersama pasukan tentera berhampiran sempadan Gaza.
Dalam video berkenaan, Netanyahu berjanji akan ‘memberi kemenangan besar’ kepada Israel.
Selain itu, keluarga tebusan Hamas merayu supaya mereka dibebaskan segera, selain mendesak pihak berkuasa Israel suaya menghentikan serangan di wilayah tersebut.
Dianggarkan 200 orang termasuk 30 belia dan kanak-kanak masih dijadikan tebusan oleh Hamas.
ZIONIS TERUS ‘GILA’ MEMBUNUH
Sejumlah penduduk yang hilang tempat tinggal terbunuh, manakala sebilangan lagi cedera akibat serangan Israel, lewat malam tadi, ketika mereka berlindung di pekarangan sebuah gereja di Semenanjung Gaza.
Menurut Kementerian Dalam Negeri bawah pentadbiran Hamas, ramai yang terkorban dan mengalami kecederaan di pekarangan Gereja Greek Orthodox Saint Porphyrius dalam serangan itu.
Menurut saksi, mangsa yang cedera telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan, dan bedilan itu turut merosakkan sebahagian gereja terbabit, selain menyebabkan sebuah bangunan di sebelahnya runtuh.
Saint Porphyrius adalah gereja tertua masih beroperasi di Gaza dan terletak di kawasan kejiranan bersejarah dalam bandar itu.
Susulan itu, pihak Orthodox Patriarchate of Jerusalem dalam satu kenyataan, mengutuk sekeras-kerasnya serangan berkenaan.

Gereja berkenaan terletak tidak jauh dari Hospital Al-Ahli Arab yang turut diserang sehingga meragut sekurang-kurang 471 nyawa pada Selasa lalu, menurut pihak berkuasa Hamas.
Selain itu, serangan udara tentera Zionis malam semalam juga meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa termasuk kanak-kanak.
Serangan udara di Deir al-Balah itu turut menyebabkan sekurang-kurangnya 35 orang cedera.
GENCATAN SENJATA
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mendesak Israel dan Hamas bersetuju dengan gencatan senjata kemanusiaan selama dua minggu.
Tempoh gencatan itu akan membolehkan badan dunia itu mendapatkan akses bahan bakar, bekalan air, makanan dan ubat-ubatan kepada penduduk Palestin di Gaza.
Desakan ini dibuat ketika sidang media bersama Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry di Kaherah.
“Dalam bencana kemanusiaan ini, saya menyeru dua tindakan kemanusiaan segera.
“Kepada Hamas, untuk melepaskan tahanan tanpa syarat dengan segera. Kepada Israel, untuk membenarkan akses kemanusiaan tanpa had dengan segera bagi memberi bantuan keperluan asas penduduk di Gaza,” katanya.