JAKARTA: Sebilangan menteri yang terpalit kes rasuah semasa pentadbiran Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menunjukkan bahawa masih wujud masalah serius dalam pengendalian isu tersebut di negara itu.
Peguambela, Todung Mulya Lubis mengetengahkan isu terbabit yang dilihat semakin meningkat dengan memetik Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang diwujudkan oleh Transparency International Indonesia semasa penggal kedua pentadbiran Jokowi.
Beberapa menteri Jokowi yang terperangkap dengan kes rasuah dan didapati bersalah ialah Idrus Marham, Imam Nahrawi, Edhy Prabowo, dan Juliari Batubara.
Sementara itu, bekas Menteri Perhubungan dan Penerangan, Johnny Gerard Plate dan bekas Menteri Pertanian, Syahrul Yasin Limpo masing-masing disyaki terlibat dengan rasuah dalam projek perolehan 4G dan kes lain di Kementerian Pertanian.
Data Transparency International menyatakan bahawa semasa pentadbiran Jokowi, kualiti pembasmian rasuah dan demokrasi cenderung terus merudum.
Menerusi tinjauan tersebut, CPI Indonesia pada tahun 2022 berada pada skor 34 peratus di kedudukan ke-110 daripada 180 negara yang dikaji berbanding pada tahun 2021 yang mencatat skor 38 peratus.
“Saya berasa sedih kerana dalam penggal kedua, Jokowi sepatutnya dapat mencipta legasi yang baik untuk bangsa ini. Meninggalkan sejarah baik perjuangan membasmi rasuah dengan hasil yang baik,” kata Todung dalam program Rosi di Kompas TV.
Menurut Todung, terdapat beberapa masalah dalam usaha membanteras rasuah yang menyebabkan CPI merosot semasa pentadbiran Jokowi termasuk kelemahan kewibawaan Komisi Pencegahan Rasuah (KPK).
Todung turut berharap Jokowi dapat meningkatkan kembali kedudukan Indonesia dengan merombak KPK dan membina semula kepercayaan masyarakat dalam membanteras rasuah di negara itu sehingga Oktober 2024.
“Pembasmian rasuah bukan sahaja dilakukan oleh KPK semata-mata. Polis dan Pejabat Peguam Negara juga melakukan perkara yang sama. Ketiga-tiga institusi ini perlu benar-benar berusaha menjadi satu kuasa dan bekerjasama untuk membanteras rasuah,” katanya.