NUSA DUA: Kementerian Luar Indonesia menyatakan proses membawa keluar rakyat negara ini dari Palestin akan dilakukan selepas keadaan reda.
Menterinya, Retno Marsudi berkata, pihak berkuasa Indonesia sudah mempunyai jumlah rakyat negara ini yang terkandas di Palestin.
“Kami sudah maklum mengenai rakyat kita yang terkandas di Palestin, kita sudah tahu jumlahnya. namun kita masih belum boleh membawa keluar mereka berikutan situasi tegang di Palestin.
“Sementara menunggu keadaan kembali reda, pihak berkuasa Indonesia sudah meminta bantuan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) untuk membantu rakyat Indonesia di Gaza,” katanya.
Selain itu, kementerian juga sentiasa berhubung dengan pihak berkaitan bagi memastikan semua rakyat Indonesia di sana berada dalam keadaan selamat.
Retno menegaskan, proses membawa keluar rakyat negara ini dari Palestin perlu dilakukan dengan lancar dan selamat.
“Kita tidak mahu proses membawa keluar itu menjadi proses yang berbahaya.
“Kita tidak mahu sesuatu yang tidak diingini berlaku pada rakyat kita.
“Adalah wajar untuk tunggu semuanya kembali reda dan Indonesia berharap perang ini segera berakhir,” ujarnya.
Dalam pada itu, Duta Besar Indonesia di beberapa negara Arab seperti Jordan, Lubnan dan Mesir sentiasa memantau perkembangan situasi di Gaza dan memastikan semua rakyat Indonesia di sana mendapat perlindungan.
Mereka memberitahu, kemungkinan semua rakyat tersebut akan dibawa keluar dari Palestin menggunakan laluan berhampiran negara jiran.