SINGAPURA: Dasar baharu mengenai sokongan pengangguran di Singapura akan diperkenalkan untuk menyediakan jaring keselamatan sementara bagi mereka yang diberhentikan sambil menggalakkan peningkatan kemahiran untuk meningkatkan prospek pekerjaan.
Pakar ekonomi berkata, usaha itu juga akan membantu mencegah penyalahgunaan dasar yang akan datang.
DASAR LEBIH KETAT
Timbalan Perdana Menteri, Lawrence Wong berkata, bantuan untuk penganggur bukan secara sukarela di negara itu akan berada di bawah program SkillsFuture yang dirombak semula.
“Ini tidak semestinya skim insurans. Sebaliknya, ia boleh menjadi faedah yang dibiayai kerajaan dengan saiz sesuai untuk membantu pekerja yang diberhentikan berdepan cabaran disamping meningkatkan kemahiran mereka,” jelasnya.
Wong yang juga Menteri Kewangan berkata, dasar sedemikian menandakan perubahan dalam pendirian kerajaan yang lama dipegang bahawa sokongan langsung boleh menghalang orang ramai untuk mencari kerja.
“Sejak sekian lama, kerajaan sangat berhati-hati dalam memperkenalkan faedah pengangguran tetapi melihat kepada kadar perubahan dan pergolakan yang lebih pantas dalam ekonomi kita, kami sudah menyemak dan menginovasi semula kaedah kami,” katanya.
Pakar ekonomi memberitahu CNA bahawa skim sokongan baharu itu boleh diperkenalkan dengan kriteria pendapatan atau perumahan serta syarat seperti latihan untuk memastikan ia disasarkan kepada mereka yang memerlukannya.
Sebagai contoh, kelayakan boleh dihadkan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan dalam keadaan tidak disengajakan dan memenuhi syarat lain seperti sudah bekerja untuk tempoh minimum.
Mereka yang dipecat kerana prestasi kerja yang lemah akan dikecualikan.
Keperluan lain bertujuan untuk memotivasikan orang ramai mencari pekerjaan baharu termasuk menghadiri kursus latihan untuk meningkatkan kebolehan sedia ada atau memperoleh kemahiran baharu, mendapatkan bimbingan serta kaunseling kerjaya dan aktif dalam pencarian pekerjaan.
UKUR KELAYAKAN
Menurut Penasihat Ekonomi CGS-CIMB Securities, Song Seng Wun, Singapura berkemungkinan akan memilih pendekatan yang disasarkan seperti dilakukan untuk skim sokongan masa lalu namun mengekalkan prinsip berdikari.
“Ia akan ditentukan dengan cara yang bersesuaian dan unik di Singapura malah agak spesifik seperti meluluskan pembayaran tunai yang berbeza berdasarkan jenis perumahan dan saiz keluarga.
“Semuanya boleh diukur dari segi sasaran atau parameter sama ada seseorang sedang mencari pekerjaan secara aktif atau beralih ke industri lain.
“Ia seharusnya boleh diukur kerana kita tidak mahu sistem itu disalahgunakan,” tambahnya.
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr. Kelvin Seah turut menegaskan keperluan untuk mekanisme yang sesuai dibina dalam dasar akan datang termasuk mempunyai sokongan yang berbeza berdasarkan tempoh pengangguran.
“Dalam beberapa minggu pertama pengangguran, tahap sokongan kewangan yang diterima mungkin tinggi tetapi apabila tempoh pengangguran meningkat, tahap sokongan kewangan menurun,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan perlu berjaga-jaga terhadap potensi penyalahgunaan dan faedah bagi mereka yang secara sukarela meninggalkan pekerjaan untuk meningkatkan kemahiran atau beralih ke industri baharu mungkin perlu dikendalikan dengan cara berbeza.
“Sebagai contoh, pengecualian boleh dibuat untuk mereka yang berada dalam industri atau sektor yang merudum akibat terdedah kepada gangguan ekonomi atau teknologi.
“Situasi itu menjejaskan bukan sahaja pekerja yang lebih tua, tetapi juga golongan muda seperti yang dilihat daripada pemberhentian besar-besaran oleh industri teknologi sepanjang tahun lalu,” katanya.