GAZA: Lebih 123,000 rakyat Palestin terpaksa meninggalkan kediaman mereka di Semenanjung Gaza ketika konflik Palestin-Israel semakin memuncak, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), kelmarin.
“Sehingga pukul 9 malam, seramai 123,538 rakyat Palestin sudah dipindahkan di Gaza,” menurut OCHA dalam satu kenyataan.
Israel dihujani serangan roket yang tidak pernah berlaku sebelum ini dari Semenanjung Gaza pada pagi Sabtu lalu.
Tentera Israel mendakwa Hamas melancarkan lebih 5,000 roket, dengan berpuluh-puluh tentera Hamas menyusup ke kawasan sempadan di selatan Israel.
Sehubungan itu, Israel menghantar pasukan tenteranya ke wilayah selatan untuk menakluk semula kawasan itu dan mula melancarkan serangan terhadap sasaran Hamas di Gaza.
Dalam pada itu, kerajaan Israel mengumumkan semalam mereka menggunakan Artikel 40 Undang-undang Asas, yang bermaksud negara itu secara rasmi memasuki keadaan perang.
Selain itu, pertempuran antara pasukan tentera Israel dengan pejuang hamas masih berterusan di beberapa lokasi di sekitar Semenanjung Gaza dan wilayah Israel.
“Kami masih bertempur dengan Hamas. Kami jangka semalam boleh kawal sepenuhnya, namun pertempuran semakin sengit.
“Kami berharap semuanya akan berakhir tidak lama lagi,” menurut jurucakap tentera Israel, Richard Hecht.