Keluarga wartawan Al Jazeera terbunuh serangan di Gaza

Keluarga wartawan Al Jazeera terbunuh serangan di kem pelarian Gaza

gaza terkini
WAEL Al-Dahdouh mendukung mayat anak perempuannya yang terbunuh dalam serangan di kem pelarian Nuseirat di Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Seorang wartawan agensi berita Al Jazeera tidak dapat menahan sebak selepas semua ahli keluarganya terbunuh dalam serangan Israel ke atas kem pelarian di Gaza.

Al Jazeera dalam satu kenyataan berkata, isteri, dua anak dan seorang cucu koresponden saluran berbahasa Arabnya di Gaza, Wael Al-Dahdouh terbunuh selepas Israel membedil kem pelarian Nuseirat di Gaza.

“Rangkaian Media Al Jazeera menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada rakan sekerja kami atas kehilangan keluarganya dalam serangan udara Israel

“Serangan sewenang-wenangnya oleh tentera Israel mengakibatkan kehilangan tragis isteri, anak lelaki, anak perempuan dan seorang cucunya, manakala seluruh ahli keluarganya yang lain masih tertimbus di bawah runtuhan.

Al Jazeera amat mengambil berat tentang keselamatan dan kesejahteraan rakan sekerja kami di Gaza dan menganggap pihak berkuasa Israel bertanggungjawab ke atas keselamatan mereka,” tambahnya.

Menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas, serangan Israel membunuh lebih 6,500 orang di Gaza, peningkatan mendadak sejak Selasa lalu.

Dalam imej dan rakaman yang dikongsi di media sosial, Wael dilihat mendukung dan meratapi mayat isteri dan anak-anaknya di sebuah hospital di Deir el-Balah di selatan Semenanjung Gaza.

Al Jazeera berkata, keluarga itu tinggal di tempat perlindungan sementara selepas mengosongkan kediaman mereka di Gaza City berikutan amaran Israel supaya penduduk berpindah ke selatan ketika tenteranya memperhebatkan serangan yang menyasarkan Hamas.

“Kawasan tempat keluarga saya tinggal ini adalah zon selamat yang diperkatakan oleh tentera Israel,” kata Wael.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN