BANGKOK: Ahli keluarga seorang warga Thailand yang terbunuh dalam serangan di Israel, merayu kerajaan agar membawa pulang mayat mangsa ke kediamannya di wilayah timur laut Si Sa Ket.
Lapor Bangkok Post, ibu dan isteri mangsa iaitu Phraiwan Suchat, 53, dan Warunee Daosai, 30, menyeru Perdana Menteri, Srettha Thavisin membantu mereka membawa pulang mayat Phongphat Suchat, 29, ke Ban Krachaeng Muang di daerah Kantharalak.
Dilaporkan, Phongphat maut dalam serangan bom di selatan Israel.
Abang mangsa, Surat Suchat berkata, dia menyaksikan sendiri adiknya bersama seorang lagi warga Thailand terbunuh selepas peluru mortar meletup berhampiran mereka ketika bekerja.
Kata Surat, ketika kejadian, Phongphat dan pekerja lain sedang berdiri kira-kira 20 meter darinya apabila terkena peluru mortar.
“Peluru mortar itu meletup kira-kira lima saat selepas siren berbunyi,” katanya sambil menambah tentera Israel mengambil kesemua mayat mangsa.
Sehubungan itu, Surat juga menyeru Srettha membantu menyelaras proses membawa pulang mayat adiknya ke Thailand.
Mengulas mengenai situasi semasanya di Israel, Surat berkata, dia bersama 59 pekerja lain kini takut untuk keluar bekerja.
Malah, jelas Surat, majikannya juga tidak pernah datang untuk memeriksa keadaan mereka.
“Saya memang mahu meninggalkan Israel selepas segala persiapan membawa pulang mayat Phongphat selesai dan sudah dihantar ke rumah.
“Yang pastinya, saya tidak akan kembali bekerja di Israel lagi,” katanya.