TEBING BARAT: Tembakan dilepaskan ketika Israel melancarkan gelombang baharu serbuan di Tebing Barat yang diduduki.
Sebuah video yang disiarkan oleh Al Jazeera Arabic di media sosial menunjukkan barisan kenderaan berperisai memasuki kawasan kejiranan di bandar Nablus di Tebing Barat yang diduduki awal pagi ini.
Menurut catatan di Telegram, saksi juga melaporkan mendengar tembakan dilepaskan ke arah pasukan Israel yang masuk selepas serbuan dilaporkan berlaku di kawasan Rafidiya.
Akhbar Palestin, Al Hadath turut melaporkan serbuan di kampung al-Mughayyir di timur laut Ramallah.
Berpuluh-puluh askar Israel yang bersenjata lengkap turut dilihat menyerbu kejiranan Shuafat di Baitulmuqaddis Timur, kampung Palestin Beit Kahil serta utara Hebron di Tebing Barat.
Israel dilaporkan menangkap lebih 1,350 rakyat Palestin di Tebing Barat ketika ia meningkatkan serbuan setiap malam di seluruh wilayah yang diduduki itu sejak tiga minggu lalu.
Sekurang-kurangnya 104 rakyat Palestin terbunuh, termasuk kanak-kanak dan seorang wanita sejak konflik Hams-Israel bermula.
Sementara itu, menurut agensi berita Palestin WAFA, sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh, kebanyakannya kanak-kanak, dalam serangan terbaharu Israel yang menyasarkan sebuah rumah di bandar Khan Younis.
Serangan berasingan turut dilaporkan berlaku di empat kawasan lain di Kota Gaza, termasuk di sekitar Stadium Yarmouk, walaupun tiada laporan segera mengenai korban.











