TEHERAN: Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menafikan penglibatan negaranya dalam serangan mengejut Hamas ke atas Israel pada Sabtu lalu walaupun menyokong kuat kumpulan pejuang Palestin itu.
“Penyokong pemerintah Zionis dan beberapa individu dalam rejim rampasan menyebarkan khabar angin sejak dua tiga hari lalu termasuk mendakwa Iran berada di sebalik serangan itu.
“Dakwaan itu adalah tidak benar sama sekali. Sudah tentu, kami mempertahankan Palestin dan perjuangan penduduk itu.
“Malah, kami turut menggesa semua negara Islam untuk menyokong perjuangan penduduk Palestin,” katanya ketika berucap di akademi tentera.
Menurut Ayatollah Ali, Israel mengalami `kegagalan yang tidak boleh dipulihkan’ membabitkan bidang ketenteraan dan perisikan.
“Semua orang bercakap mengenai kegagalan itu, malah saya juga menekankan mengenai isu itu yang tidak boleh dipulihkan,” katanya. – AFP