JAKARTA: Kerajaan Indonesia akan mengimport tambahan 1.5 juta tan metrik beras pada tahun ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pemangku Menteri Pertanian, Arief Prasetyo Adi di tengah-tengah kenaikan harga makanan ruji itu berikutan kemarau menjejaskan hasil tuaian di kebanyakan pusat pengeluaran di seluruh negara.
Menurut Arief, jumlah itu adalah tambahan kepada kuota import beras sebanyak dua juta tan bagi tahun 2023 serta tambahan 300,000 tan pemindahan daripada rancangan import tahun lalu.
“Kami akan melakukan yang terbaik untuk import tambahan 1.5 juta tan itu,” katanya.
Jelas Arief, secara realistiknya Indonesia mungkin hanya mampu memperoleh 600,000 tan menerusi pelan import baharu itu sehingga akhir tahun.
Sebelum ini, pihak berkuasa Indonesia memaklumkan republik itu sedang merancang untuk mengimport sejuta tan dari China bagi meningkatkan stok simpanan.
Tidak dapat dipastikan dari mana selebihnya import itu akan diperoleh.
Biasanya, Indonesia membeli beras daripada Thailand, Vietnam dan India.
Menurut pihak berkuasa, perbincangan mengenai potensi import juga diadakan dengan Kemboja dan Pakistan. – REUTERS