JAKARTA: Indonesia memerlukan 300 empangan lagi dalam proses menghadapi bencana alam seperti krisis air disebabkan perubahan iklim.
Perkara itu dimaklumkan oleh jurucakap Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Awam (PUPR), Endra S. Atmawidjaja pada Forum Merdeka 9 bertajuk `Kolaborasi Global untuk Menjangka Krisis Air Sebagai Impak Perubahan Iklim’.
“Tambahan empangan itu adalah berdasarkan pengiraan had selamat untuk menangani krisis air domestik yang berterusan,” kata Endra sepertimana dipetik portal Antara.
Pada forum itu, Endra turut menekankan dalam tempoh sedekad lalu kementerian membina sekurang-kurangnya 60 empangan bagi mencapai keselamatan air yang lengkap.
Bagaimanapun, berdasarkan kajian terbaharu dijalankan kementerian, angka itu masih jauh dari mencukupi, justeru, perlu membina 300 empangan lagi.
Menurut Endra, perubahan iklim dan fenomena El-Nino di Lautan Pasifik menyebabkan kebanyakan wilayah di Indonesia mengalami kemarau melampau dan berpanjangan.
Katanya, kemarau berpanjangan memberi kesan terhadap keselamatan makanan yang mana langkah berjaga-jaga sewajarnya perlu diambil.
Endra turut menekankan kepentingan golongan petani tidak kehilangan momentum untuk menanam padi, jagung dan tanaman makanan lain.
Justeru, katanya, kementerian memasukkan pelan pembinaan empangan tambahan dalam pelan strategik dalam usaha mengurangkan keadaan krisis iklim.