JAKARTA: Selain keperluan asas dan persaingan geopolitik, isu ekonomi menjadi antara pertimbangan utama rakyat Indonesia ketika memilih presiden serta ahli parlimen baharu negara itu menjelang Pilihan Raya Umum (Pemilu) 14 Februari depan.
Mendahului senarai adalah keadaan ekonomi ketika orang ramai bergelut dengan peningkatan kos sara hidup, pengangguran, inflasi, dan bagaimana presiden baharu boleh membantu mengurangkan kesan melalui dasar serta skim yang ditawarkan kepada rakyat.
Penganalisis firma perunding risiko di Jakarta, Kevin O’Rourke berkata, sebagai sebuah negara membangun dengan kira-kira 270 juta penduduk, ekonomi kekal sebagai isu terpenting dalam pilihan raya akan datang.
“Tiga kebimbangan utama pengundi akan kekal sama, iaitu membasmi kemiskinan, peluang pekerjaan dan inflasi,” katanya dipetik Channel News Asia.
Usaha untuk meningkatkan infrastruktur dalam kawasan kepulauan negara itu yang akan turut membantu mengembangkan ekonomi negara juga bakal menjadi isu yang mesti ditangani oleh bakal presiden Indonesia.
Presiden, Joko Widodo (Jokowi) yang sudah berkuasa selama dua penggal dipuji kerana usahanya membina lebuh raya, pelabuhan dan lapangan terbang baharu di seluruh Indonesia, bukan hanya di pulau utama Jawa.
Semasa pentadbirannya, beliau merasmikan kereta api pertama di Sulawesi, lebuh raya pertama di Kalimantan serta merasmikan jambatan terpanjang di Papua.
“Saya rasa isu berkaitan pelaburan dan infrastruktur serta kesannya terhadap pembangunan Indonesia akan terus dibincangkan dalam pilihan raya ini,” kata Penganalisis Politik Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Arya Fernandes.
Ramai pengundi juga mahu mengetahui hala tuju banyak projek infrastruktur yang dijalankan sepanjang tempoh perkhidmatan Jokowi sama ada ia akan diteruskan di bawah pentadbiran baharu.
Menurut tinjauan pendapat, betapa rapatnya calon presiden dengan Jokowi juga boleh menentukan tahap populariti dan penerimaan pengundi.