Gempa bumi Afghanistan: Lebih 11,000 orang terjejas

Gempa bumi Afghanistan: Lebih 11,000 orang terjejas

PENDUDUK menggali kubur untuk mengebumikan jenazah mangsa yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di wilayah Herat, Afghanistan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HERAT: Lebih 11,000 penduduk terjejas akibat beberapa siri gempa bumi yang melanda barat Afghanistan pada Sabtu lalu.

Data itu didedahkan oleh Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA).

Lapor agensi berita dpa, bencana yang menjejaskan sekurang-kurangnya 11 perkampungan itu turut memusnahkan hampir semua rumah penduduk.

Berdasarkan laporan, lebih 2,400 orang terkorban selepas beberapa siri gempa bumi melanda Afghanistan.

Penyiar Tolonews yang memetik kenyataan pihak berkuasa memaklumkan lebih 2,000 orang lagi cedera di wilayah sempadan Herat.

“Angka kematian dijangka meningkat apabila kawasan terpencil selesai dinilai,” jelas OCHA.

Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyumbang dana sebanyak 4.7 juta euro (RM23.4 juta) sebagai bantuan kecemasan.

Agensi antarabangsa itu juga membuat rayuan dengan memohon sumbangan dana selepas pihaknya menilai keperluan.

Lebih 550 penduduk termasuk 230 kanak-kanak yang cedera sedang dirawat di Hospital Wilayah Herat.

Bekalan bantuan kecemasan termasuk barangan kebersihan, makanan dan air minuman sudah diagihkan.

Sementara itu, BBC melaporkan pasukan kecemasan berusaha sedaya upaya menyelamatkan mangsa yang tertimbus di bawah timbunan runtuhan bangunan.

Gempa bumi berukuran 6.3 skala Richter yang melanda negara itu mengakibatkan banyak kawasan pedalaman terputus hubungan.

Malah, jalan rosak dan terhalang juga menyukarkan lagi pasukan kecemasan untuk sampai ke kawasan pedalaman bagi membolehkan mereka menjalankan misi menyelamat.

Menurut laporan, penduduk kampung menggunakan penyodok dan tangan untuk menarik keluar mangsa yang masih hidup dari bawah serpihan runtuhan.

Selain itu, berdasarkan laporan, ramai penduduk terpaksa tidur di tempat terbuka pada waktu malam selepas rumah mereka musnah dalam kejadian gempa bumi itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN