HERAT: Satu gempa bumi sekuat 6.2 skala Richter melanda barat Afghanistan hari ini dengan pusat gempa berhampiran bandar terbesar negara ini.
Menurut USGS, pusat gempa terletak 40 kilometer ke barat laut bandar Herat dan diikuti dengan beberapa gempa susulan berukuran 5.5 Richter.
Koresponden AFP memaklumkan, penduduk dan peniaga lari meninggalkan premis perniagaan dan kediaman masing-masing apabila gempa melanda pada pukul 11 pagi waktu tempatan.
Setakat ini, tiada laporan mengenai kerosakan infrastruktur atau kematian akibat gempa tersebut.
Pada Jun tahun lalu, lebih 1,000 orang terbunuh dan puluhan ribu hilang tempat tinggal apabila gempa 5.9 Richter melanda wilayah Paktika. – AFP