GAZA: Keadaan di Gaza sudah semakin nazak seakan tiada harapan untuk pulih apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengakui tidak lagi dapat menyalurkan bantuan kepada penduduk Palestin dalam skala besar berikutan bahan api, bekalan makanan serta keperluan lain yang diperoleh badan itu semakin terhad.
Agensi utama PBB di Gaza berkata, badan itu mungkin terpaksa menghentikan operasi bantuan dalam tempoh terdekat jika bahan api tidak dihantar, sekaligus menamatkan ‘talian hayat’ terakhir untuk orang awam di Palestin.
TALIAN HAYAT TERAKHIR
Walaupun beberapa bantuan sampai ke Gaza melalui Mesir, penghantaran itu hanya melibatkan makanan, air dan ubat-ubatan tanpa bahan bakar.
Israel enggan membenarkan bahan api memasuki Gaza kerana mendakwa kononnya bahan itu akan digunakan oleh Hamas untuk menyemarakkan perjuangan mereka di bumi Palestin.
“Kita mungkin bertahan hanya untuk sehari dua.
“Kami sudah berkali-kali memberi amaran jika minyak kehabisan malam ini atau esok, kami sebagai agensi PBB terbesar di Gaza tidak akan dapat bekerja lagi,” kata jurucakap UNRWA, Tamara Alrifai.
Pegawai PBB memberi amaran bahawa bekalan semasa kini umpama setitis air di lautan, tidak cukup untuk menampung keperluan lebih 2.3 juta rakyat Palestin yang tinggal di Gaza dan tidak akan dapat diagihkan tanpa bahan api.
“Tanpa bahan api, bantuan tidak dapat disampaikan, hospital tidak akan mempunyai kuasa dan air minuman tidak boleh disuling atau dipam,” jelas badan itu.
MENANTI KEMASUKAN BANTUAN
Doktor di beberapa hospital di Gaza berulang kali memberi amaran bahawa gelombang pesakit baharu yang cedera dalam pengeboman harian dan bayi yang bergantung kepada bekalan oksigen akan mati jika bahan api tidak dibawa masuk.
Pengarah komunikasi UNRWA, Juliette Touma berkata, agensi itu melindungi kira-kira 600,000 orang awam di seluruh Gaza dan menjadi satu-satunya talian hayat mereka.
Namun sukarelawan dan anggota agensi tersebut kini terpaksa memutuskan aspek bantuan penting yang boleh dan tidak boleh berikan kepada orang awam demi kelangsungan bekalan yang diperolehi.
Persekitaran kesihatan yang semakin merosot, kekurangan sanitasi, penggunaan air kotor dan air masin di Gaza menimbulkan kebimbangan krisis kesihatan serta kematian akibat dehidrasi.
Hanya lapan daripada 20 trak bantuan yang dijadualkan untuk menyeberang ke Gaza pada Selasa lalu berjaya sampai sementara tiada alasan diberikan mengapa 12 trak lain tidak berjaya melalui persimpangan Rafah.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sejak permulaan kepungan Israel dua minggu lalu, enam hospital di Gaza terpaksa ditutup kerana kekurangan bahan api.
“Antara mereka yang berisiko maut atau mengalami komplikasi perubatan termasuk 1,000 pesakit yang bergantung kepada mesin dialisis, 130 bayi pramatang selain pesakit lain yang mengharapkan bekalan elektrik stabil dan tidak terganggu untuk terus hidup,” kata badan itu dalam satu kenyataan.
KENYATAAN DIPUTAR BELIT
Dalam pada itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menolak sebarang kesilapan dalam kenyataannya mengenai keadaan Palestin yang menimbulkan kemarahan Israel.
Malah beliau terkejut apabila kenyataannya berhubung situasi sebenar di Genting Gaza diputar belit Israel.
“Saya terkejut apabila beberapa kenyataan saya di Majlis Keselamatan PBB (UNSC) disalah tafsir seolah-olah saya mewajarkan tindakan keganasan oleh Hamas.
“Saya bercakap tentang rungutan rakyat Palestin. Saya perlu bercakap benar kerana menghormati mangsa dan keluarga mereka,” kata Guterres kepada pemberita tanpa menamakan Israel.
Ketika berucap pada sesi UNSC Selasa lalu, beliau dilaporkan mengecam pelanggaran jelas undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang disaksikan di Gaza.
Beliau malah menegaskan, amat penting untuk mengiktiraf serangan oleh Hamas tidak berlaku tanpa sebab kerana rakyat Palestin sudah tertakluk kepada 56 tahun pendudukan yang menyesakkan.
Duta Israel ke PBB, Gilad Erdan, menolak penjelasan itu dan menggesa Guterres meletak jawatan.
Menteri Luar Israel, Eli Cohen turut dilaporkan membatalkan pertemuan dengan Guterres dan menegaskan engga lagi mengeluarkan visa secara automatik kepada pegawai badan itu yang mahu melawat negaranya.-AFP/AGENSI











