Filipina wujudkan perbankan Islam untuk manfaat rakyat - Utusan Malaysia

Filipina wujudkan perbankan Islam untuk manfaat rakyat

BANGUNAN Bangko Sentral ng Pilipinas. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Penubuhan perbankan Islam di Filipina bertujuan memberi manfaat kepada semua rakyat negara itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh bank pusat negara itu ketika institusi berkenaan berusaha memberi kesedaran untuk meluaskan akses perkhidmatan kewangan selaras dengan undang-undang Islam.

Bangko Sentral ng Pilipinas (BSP) mempergiatkan promosi kewangan Islam di Filipina susulan keputusan lembaga kewangan negara untuk meluluskan lesen unit perbankan Islam pertama bagi bank tradisional.

Keputusan itu meluaskan potensi untuk bank asing dan swasta yang ingin menerokai pasaran.

Sebelum ini, ia terhad kepada Bank Pelaburan Islam Al-Amanah Filipina milik kerajaan.

“BSP mengorak langkah penting dalam menggalakkan penubuhan perbankan dan kewangan Islam di negara ini.

“Promosi serta pembangunan perbankan dan kewangan Islam akan memberi manfaat yang sama kepada semua rakyat Filipina termasuk yang bekerja di luar negara.

“Ia dapat menarik pelabur asing yang cenderung beroperasi di Filipina di bawah model perniagaan kewangan Islam, selain memperluaskan pembayaran dan saluran kiriman wang OFW dan meningkatkan kesediaan perkhidmatan kewangan lain,” kata penolong gabenor bank pusat itu, Arifa A.Ala.

Kira-kira separuh daripada 1.8 juta rakyat Filipina di luar negara menetap dan bekerja di negara Islam Majlis Kerjasama Teluk terutamanya Arab Saudi.

“Menerusi program celik kewangan dan kesedaran pengguna BSP, warga Filipina di luar negara boleh mempelajari lebih lanjut mengenai perbankan dan kewangan Islam,” katanya.

Tambah Arifa, beliau juga percaya pengembangan industri perbankan dan kewangan Islam juga akan memberi manfaat kepada warga Islam Filipina yang terpinggir. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN