Bukan semua Yahudi sokong kekejaman Israel di Palestin

Bukan semua Yahudi sokong kekejaman Israel di Palestin

PENDUDUK Palestin yang cedera menunggu giliran untuk menerima rawatan di Hospital al-Shifa di Gaza City. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COPENHAGEN: Apabila Jonathan Ofir mendengar Barat bertalu-talu mengutuk serangan Hamas di Israel pada 7 Oktober lalu, dia tahu situasi paling buruk akan berlaku.

“Serangan Hamas itu merupakan lampu hijau untuk Israel melancarkan pembunuhan beramai-ramai dalam skala besar-besaran yang mereka selalu inginkan di Gaza,” katanya.

Lebih 1,400 penduduk Yahudi di Israel terbunuh dalam serangan berkenaan, menyaksikan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengisytiharkan perang terhadap Hamas.

Bedilan udara bertubi-tubi di Gaza oleh tentera Zionis sejak 7 Oktober lalu menyaksikan lebih 5,000 rakyat Palestin terkorban, dengan sebahagian besar wilayah itu musnah.

Ofir merupakan aktivis pro-Palestin dilahirkan di Israel, namun menetap di Copenhagen, Denmark dan dia adalah seorang daripada masyarakat Yahudi yang berpangkalan di Eropah mengutuk sekeras-kerasnya polisi Israel terhadap rakyat Palestin.

Lelaki itu juga sering menyertai pelbagai demonstrasi mengutuk Zionis, menyokong Palestin di seluruh dunia, dari Glasgow ke London, Paris ke Barcelona.

“Israel mendakwa Yahudi adalah aset mereka, namun pada masa yang sama menjadikan kami sebagai alasan untuk mereka menindas penduduk Palestin dan Israel mahu semua Yahudi di seluruh dunia patuh pada mereka.

“Disebabkan itu, komuniti Yahudi mendapat nama buruk kerana Israel menyerang Palestin sedangkan bukan semua Yahudi itu menyokong Israel,” ujarnya.

YAHUDI ANTI-YAHUDI

Naama Farjoun membesar di Baitulmuqaddis, namun sudah lama menyifatkan dirinya sebagai anti-Yahudi Zionis.

Pada Januari 2001, dia meninggalkan Israel dan kini sudah 54 tahun Naama tinggal di Valencia, Sepanyol.

“Saya tinggalkan Israel kerana saya tidak tahan melihat betapa rasisnya mereka dan setiap hari saya marah melihat pendudukan Zionis di bumi Palestin.

“Saya sangat sedih melihat keadaan Gaza ketika ini kerana mereka tidak seharusnya berdepan situasi itu,” katanya.

DIPENJARA JIKA SOKONG PALESTIN

Dalam pada itu, golongan Yahudi, termasuk Yahudi Israel yang berani menyuarakan bantahan mereka terhadap penindasan Zionis di Palestin bukanlah fenomena baharu dan golongan itu digelar ‘Israeli refuseniks’.

Golongan itu menolak undang-undang perkhidmatan ketenteraan mandatori sebagai protes terhadap kekejaman Zionis di Palestin.

Golongan itu juga sering dipenjara kerana prinsip mereka.

Joseph Abileah menjadi individu pertama di Israel yang dibicarakan kerana enggan berkhidmat dalam tentera Israel, namun dia melarikan diri ke negara lain untuk mengelak di penjara.

Selain itu, seorang lagi bangsa Yahudi, Tom London dari Britain menyatakan dia berdepan kecaman selepas mendedahkan dalam X bahawa dia menyokong hak Palestin.

AS TOLAK GENCATAN SENJATA

Amerika Syarikat (AS) memberi amaran mengenai sebarang gencatan senjata di Gaza hanya akan ‘memberi faedah’ kepada Hamas, ketika Kesatuan Eropah (EU) mempertimbangkan perkara tersebut.

Menurut jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller, gencatan senjata memberi faedah kepada Hamas dan mendakwa kumpulan pejuang itu boleh sekali lagi melancarkan serangan terhadap Israel.

“Anda boleh faham dengan jelas mengapa situasi (gencatan senjata)itu tidak boleh dipandang ringan oleh Israel.

“Hal itu kerana ia boleh menjadi situasi yang tidak boleh dikawal oleh mana-mana pihak yang sudah pun berdepan insiden keganasan,” katanya.

Miller menegaskan AS ketika ini berusaha memastikan bantuan kemanusiaan dapat dihantar ke Gaza dan pada masa yang sama memastikan Hamas tidak akan berjaya lagi menyerang Israel.

Terdahulu, Ketua Polisi EU, Josep Borrell memaklumkan beliau menjangkakan para pemimpin blok berkenaan akan menyokong gencatan senjata bagi menghentikan serangan dan membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan dengan lancar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN