AS pintas peluru berpandu, dron dilancar Houthi dipercayai tujukan ke Israel - Utusan Malaysia

AS pintas peluru berpandu, dron dilancar Houthi dipercayai tujukan ke Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Sebuah kapal Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) di Laut Merah menembak jatuh peluru berpandu serta dron didakwa dilancarkan oleh kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yaman, semalam, dengan serangan itu berkemungkinan ditujukan kepada Israel, menurut Pentagon.

Jurucakap Pentagon, Brigedier Jeneral Pat Ryder, berkata tiga peluru berpandu pelayaran serangan darat dan beberapa dron berjaya dipintas oleh kapal pemusnah.

“Serangan itu dilancarkan oleh pasukan Houthi di Yaman, dan berpotensi ditujukan ke sasaran di Israel,” dakwanya.

Kejadian dilaporkan berlaku ketika kapal terbabit, USS Carney sedang melakukan rondaan di Laut Merah sebagai sebahagian daripada tindakan memperkukuh kehadiran tentera AS atas arahan Presiden Joe Biden dengan alasan bagi mengekalkan kestabilan susulan konflik terbaru Israel-Hamas di Semenanjung Gaza.

Ryder berkata, peluru berpandu itu dilancarkan dari Yaman di mana kumpulan Houthi sokongan Iran sedang berperang dengan kerajaan yang disokong pakatan diketuai Arab Saudi.

Beliau berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku pada pihak AS, manakala peluru berpandu yang dipintas itu berkemungkinan besar jatuh ke perairan terbuka dan bukannya darat.

“Kami tidak dapat menyatakan secara pasti berhubung sasaran peluru berpandu terbabit, namun ia dilancarkan dari Yaman menuju ke arah utara di sepanjang Laut Merah.

“Tindak balas defensif kami itu adalah sebagaimana yang akan kami ambil terhadap sebarang ancaman serupa di rantau itu.

“Kami mempunyai keupayaan untuk mempertahankan kepentingan kami di rantau itu, serta menghalang peningkatan ketegangan serantau dan peluasan konflik Israel-Hamas,” katanya.

Biden telah mengarahkan penambahan aset udara dan laut, termasuk menghantar dua kapal pengangkut pesawat, ke Asia Barat sebagai langkah pengawasan susulan pergolakan terbaru kini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya