GAZA CITY: Anak lelaki kepada Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dikecam hebat kerana masih menetap di Miami ketika pasukan simpanan tentera Israel diarahkan untuk pulang bagi menentang kumpulan Hamas.
Lapor Daily Mail, Yair Netanyahu, 32, dikatakan sudah berada di Florida sejak April lalu, selepas bapanya memintanya berhenti menyiarkan hantaran berbaur hasutan di media sosial sehingga menyebabkannya disaman beberapa kali.
Ketika kira-kira 360,000 anggota pasukan simpanan diarahkan pulang ke Israel untuk menentang kumpulan Hamas, Yair pula dikatakan hidup senang-lenang di Miami.
Isu berkenaan menimbulkan kegusaran dalam kalangan anggota pasukan simpanan tersebut.
Seorang anggota pasukan simpanan yang berkhidmat di barisan hadapan wilayah utara mempertikaikan tindakan Yair yang masih berada di Miami ketika konflik Israel-Hamas semakin memuncak.
“Yair sedang seronok menikmati kehidupannya di Miami Beach manakala saya pula ketika ini berada di barisan hadapan menentang Hamas.
“Kamilah yang meninggalkan segala kerja, keluarga, anak-anak bagi melindungi orang di Israel bukan pihak bertanggungjawab mencetuskan konflik ini.
“Saudara mara dan anak-anak kita semua dikerahkan ke barisan hadapan namun Yair tiada di sini. Sudah tentu, ini tidak memberi kepercayaan terhadap kepimpinan,” katanya.
Seorang lagi anggota pasukan simpanan yang dikerahkan ke sempadan Gaza turut menyuarakan kekecewaan terhadap Yair.
“Saya meninggalkan keluarga dan kerja saya di Amerika Syarikat (AS) untuk ke Israel.
“Tidak mungkin saya boleh tinggal di sana pada masa genting ini. Mana anak perdana menteri? Mengapa dia tidak berada di Israel bersama kami,” soalnya.











