Anak lelaki Jokowi jadi calon naib presiden pilihan digandingkan bersama Prabowo - Utusan Malaysia

Anak lelaki Jokowi jadi calon naib presiden pilihan digandingkan bersama Prabowo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Anak sulung Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi dilihat antara calon naib presiden ‘paling kuat’ untuk digandingkan bersama Prabowo Subianto bagi menghadapi pilihan raya presiden tahun hadapan.

Gibran Rakabuming Raka, yang berusia 36 tahun layak menyertai pilihan raya walaupun belum berusia 40 tahun, susulan keputusan mahkamah yang membenarkan sesiapa sahaja yang mempunyai jawatan di peringkat wilayah untuk bertanding pada pilihan raya 2024 tanpa mengira usia.

Pegawai parti Gerindra pimpinan Prabowo, Andre Rosiade, berkata Gibran sememangnya seorang calon paling kuat untuk naib presiden bagi Prabowo.

“Jalan itu dilihat terbuka selepas Mahkamah Perlembagaan meluluskan petisyen yang menjadikannya layak untuk bertanding,” katanya.

Perkembangan itu memberi peluang buat Gibran yang juga Datuk Bandar Surakarta untuk bergandingan dengan Prabowo yang merupakan seorang jeneral bersara dan pencabar utama dalam pemilihan presiden tahun depan.

Prabowo bertanding buat kali ketiga selepas tewas sebelum ini kepada Jokowi.

Terdapat spekulasi sejak beberapa bulan ini bahawa Gibran, akan bertanding jawatan naib presiden bersama Prabowo.

Keputusan mahkamah itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan dalam sistem demokrasi Indonesia dengan pengkritik menyelar integriti badan kehakiman itu, apatah lagi Ketua Hakim Negara adalah abang ipar Jokowi.

Mahkamah Perlembagaan sebelum ini, mengekalkan had usia 40 tahun bagi sesiapa yang ingin bertanding bagi jawatan presiden dan naib presiden pada pilihan raya 2024.

Namun, mereka yang mempunyai jawatan di wilayah boleh bertanding tanpa mengira usia.

Di bawah Perlembagaan Indonesia, presiden hanya boleh berkhidmat maksimum selama dua penggal, menyebabkan pengkritik menuduh Jokowi berusaha untuk mengekalkan kuasa selepas meninggalkan jawatan dengan membentuk pakatan antara anaknya dan Prabowo.

Pada masa sama, Andre berkata, selain Gibran, senarai pendek calon untuk Prabowo termasuk Gabenor Jawa Timur, Khofifah Indar Parawansa dan Menteri Perusahaan Negara Erick Thohir.

Beliau berkata, keputusan muktamad itu bagaimanapun hanya akan dibuat dalam masa terdekat melalui mesyuarat ketua parti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN