BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sedang menyediakan dokumentasi diperlukan untuk memfailkan permohonan pengampunan diraja.
Bagaimanapun, peguam mewakili Thaksin, Wiyat Chartmontri berkata, permohonan itu akan dikemukakan berdasarkan budi bicara pemimpin itu.
Menurut Wiyat, bekas perdana menteri itu sedang menyediakan permohonan untuk pengampunan diraja.
“Thaksin akan memohon sendiri dan ketika ini dalam peringkat persediaan dokumentasi serta merangka permohonan itu,” katanya sambil menambah pasukan undang-undang itu masih belum melihat dokumen permohonan itu lagi.
Jelas beliau, masa permohonan itu akan dikemukakan adalah mengikut budi bicara Thaksin sendiri.
Thaksin pulang semula ke Thailand selepas 15 tahun `hidup dalam buangan’ di luar negara.
Selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Muang dengan menaiki pesawat persendirian, Thaksin terus dibawa ke penjara untuk menjalani hukuman lapan tahun atas tuduhan salah guna kuasa dan konflik kepentingan ketika waktu pentadbirannya.
Beberapa jam selepas kepulangannya, Srettha Thavisin dari parti Pheu Thai yang disokong keluarga Shinawatra, memenangi undian di Parlimen untuk dilantik sebagai perdana menteri.
Situasi itu mencetuskan spekulasi kononnya Thaksin mencapai perjanjian dengan bekas musuhnya yang menggulingkan kerajaan pentadbirannya pada 2006 dan 2014.
Namun, Thaksin dan parti Pheu Thai menafikan dakwaan berkenaan.
Pada hari pertama menjalani hukuman penjara sejurus kembali ke Thailand, bekas pemimpin itu dimasukkan ke hospital susulan mengalami masalah kesihatan.
Thaksin dilaporkan mengalami tekanan darah tinggi, tahap oksigen rendah dan insomnia ketika ditahan di wad perubatan di penjara reman Bangkok.
Walaupun berada di luar negara selama 15 tahun, Thaksin masih diingati dalam politik Thailand, yang terkenal dengan dasar populis seperti penjagaan kesihatan sejagat dan pemberian wang tunai.
Parti-parti yang setia kepada Thaksin memenangi setiap pilihan raya dalam tempoh dua dekad sehingga tahun ini.
Dilaporkan, kumpulan anti-Thaksin memfailkan petisyen untuk menghalang sebarang cubaan untuk mendapatkan pengampunan, dengan alasan kes rasuah tidak sepatutnya mendapat pengampunan. – REUTERS