BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang ketika ini menjalani hukuman penjara, dicadangkan untuk menjadi penasihat kepada kerajaan selepas dibebaskan.
Bagaimanapun, langkah itu dilihat bakal menimbulkan kritikan dalam kalangan para penentang hartawan tersebut.
Pemimpin politik berusia 74 tahun itu, yang digulingkan dalam rampasan tentera pada 2006, pulang semula ke ke Thailand pada bulan lalu.
Thaksin dikenakan hukuman penjara serta-merta atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.
Pada awal minggu ini, Perdana Menteri, Srettha Thavisin memaklumkan Thaksin masih boleh berkhidmat kepada negaranya.
Timbalan Perdana Menteri, Phumtham Wechayachai pula berkata, beliau menyokong idea menjadikan Thaksin sebagai penasihat kerajaan.
“Ia adalah perkara yang baik kerana beliau mempunyai pengalaman selama enam tahun dalam kerajaan.
“Malah, ini sudah tentu akan memberi manfaat kepada negara,” katanya.
Satu lagi sumber parti mengesahkan kerajaan baharu dipimpin parti Pheu Thai, merancang untuk berbincang dengan Thaksin, sebaik sahaja dibebaskan dari penjara.
Sebelum ini, Srettha memaklumkan dasar ekonomi diperkenalkan Thaksin (Thaksinomics) menyaksikan Thailand menikmati pertumbuhan ekonomi begitu rancak pada awal tahun 2000-an.
Oleh itu, katanya, Thaksin boleh membantu kerajaan memacu ekonomi sebanyak lima peratus setiap tahun.
“Saya percaya beliau boleh menyumbang kepada kerajaan dan rakyat Thailand.
“Beliau masih lagi, perdana menteri paling popular dalam sejarah politik Thailand,” katanya dalam wawancara bersama Bloomberg TV di luar acara Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA). – AFP