Singapura lulus penggunaan vaksin terkini Pfizer - Utusan Malaysia

Singapura lulus penggunaan vaksin terkini Pfizer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Pihak berkuasa kesihatan Singapura (HSA) meluluskan penggunaan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer yang dikemas kini untuk golongan individu berusia enam bulan ke atas.

Vaksin tersebut adalah versi terkini vaksin Comirnaty asal yang menyasarkan subvarian Omicron semasa, menurut satu kenyataan HSA semalam.

Versi terkini vaksin itu dihasilkan bagi memastikan ia terus berkesan dalam memberi perlindungan daripada virus Covid-19 yang sering bermutasi.

Menurut HSA, semakan perlu terus dilakukan untuk mengemas kini vaksin Covid-19 yang diluluskan penggunaannya bagi memastikan keberkesanan vaksin tersebut.

Dalam semakan yang dilakukan itu, HSA memaklumkan ia mempertimbangkan data menyeluruh yang diperoleh daripada versi vaksin Comirnaty sebelumnya.

“HSA juga mempertimbangkan data tambahan yang menunjukkan vaksin yang dikemas kini itu boleh meningkatkan tindak balas imuniti terhadap subvarian Omicron lain,” menurut kenyataan itu.

Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, berkata vaksin berkenaan berbeza daripada versi sebelumnya memandangkan ia tidak menyasarkan jenis virus lama yang ‘tidak lagi tersebar secara meluas dalam masyarakat’.

Menurutnya, bekalan vaksin baru dijangka tiba di Singapura lewat Oktober dan Kementerian Kesihatan akan mendedahkan butiran lanjut sebelum stok tersedia bagi orang ramai.

Ye Kung berkata, kadar vaksinasi Covid-19 di Singapura kini semakin berkurangan dan beliau menegaskan pentingnya vaksinasi dalam usaha Singapura berpindah kepada pendekatan pencegahan dalam penjagaan kesihatan.

Mengulas lanjut dalam kirimannya di Facebook, Ye Kung menegaskan bahawa pada hakikatnya, virus itu tidak semakin lemah, tetapi warga Singapura semakin terlindung disebabkan vaksinasi serta jangkitan yang sudah pulih.

Justeru, beliau menggalak golongan dewasa mendapatkan vaksinasi lebih kerap.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN