LHOKSEUMAWE: Polis Indonesia sedang memburu 13 lelaki yang didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dalam kejadian mengejutkan di Aceh Timur awal bulan lalu.
Ketua Polis Resor Aceh Timur, AKBP Andy Rahmansyah berkata, kes rogol bergilir-gilir itu melibatkan 16 suspek.
Seramai tiga suspek sudah ditangkap dan kini berada dalam tahanan polis sementara 13 lagi masih bebas.
Menurut Andy, kejadian itu berlaku ketika mangsa keluar bersama teman lelakinya yang juga salah seorang suspek pada 5 Ogos lalu.
“Mangsa tidak pulang ke rumah pada malam itu. Mangsa dan suspek yang dikenali sebagai ZA kemudiannya ditahan penduduk kerana bersekedudukan pada 11 Ogos lalu.
“Selepas dipulangkan kepada keluarganya, mangsa terus dibawa ke balai polis untuk melaporkan perbuatan ZA.
“Hasil siasatan polis, didapati ZA bersama 15 lagi lelaki turut merogol mangsa,” katanya dipetik Kompas.com.
Andy berkata, kesemua penjenayah yang terlibat dalam kes itu bakal berdepan hukuman maksimum 200 kali sebatan dan penjara sehingga 16 tahun atau denda menyamai harga 1,500 gram emas.