JAKARTA: Ketua Umum Parti Gerindra, Prabowo Subianto, berjanji tidak akan mengimport tenaga sekiranya memenangi Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024.
Prabowo menegaskan perkara itu ketika membahas 10 dasar fokus menuju Indonesia emas dalam pidatonya pada majlis pengisytiharan sokongan politik dari Partai Gelora di Teater Djakarta di Jakarta Pusat.
Prabowo yang juga Menteri Pertahanan turut menyentuh tentang isu boikot minyak sawit oleh Barat dan mengulangi bahawa Indonesia mampu menghasilkan tenaga dalam negara menggunakan bahan tersebut.
“Kita harus menjaga tenaga kita. Jangan khuatir, kita boleh hasilkan tenaga dari dalam negara menggunakan kelapa sawit, ubi kayu, sagu, tebu dan gula aren. Kita juga mampu hasilkan bahan bakar diesel daripada tanaman yang tidak akan habis.
“Terima kasih, jika mereka boikot, saya guna minyak sawit buat bahan bakar untuk rakyat, tak perlu import tenaga. Bila kita nanti diberi mandat daripada rakyat, kita tak import tenaga dari mana-mana, kita hasilkannya daripada bangsa kita sendiri,” katanya.
Selain itu, Prabowo turut menekankan tentang keselamatan air kerana menurutnya, terdapat beberapa kawasan yang mengalami masalah ketika musim kemarau.
“Kami sedang mengkaji dan akan membentuk pasukan petugas air di Kementerian Pertahanan.
“Sehingga kini, kita sudah menghasilkan 57 titik air. Kita akan menambah sehingga 100 lagi kemudahan itu di kampung yang kekurangan air menjelang akhir Oktober ini,” katanya.
Ketua Parti Gelora, Anis Matta menyerahkan surat sokongan kepada Prabowo yang sebelum ini turut disokong Parti Golkar, Parti Amanat Nasional (PAN) dan Parti Bulan Bintang (PBB).
Sementara itu, Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) bergabung dengan NasDem selepas mengisytiharkan pasangan Anies Baswedan sebagai calon presiden dan Muhaimin Iskandar atau dikenali Cak Imin sebagai calon timbalan presiden.-AGENSI