Pemimpin dunia meterai MoU Koridor Ekonomi India-Asia Barat-Eropah - Utusan Malaysia

Pemimpin dunia meterai MoU Koridor Ekonomi India-Asia Barat-Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Pemimpin global mengumumkan perjanjian multinasional membabitkan perkhidmatan kereta api dan pelabuhan yang akan menghubungkan Asia Barat, Asia Selatan serta Eropah, pada acara sampingan Sidang Kemuncak G20 di New Delhi, India, semalam.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berkata kerjasama itu sangat penting dengan antara lain bakal menghubungkan pelabuhan merentasi benua, sekali gus mendorong ke arah Asia Barat yang lebih stabil, makmur dan bersepadu.

Malah, beliau berkata, ia akan membuka ‘peluang tidak berkesudahan’ untuk tenaga dan elektrik bersih, selain penyediaan kabel bagi menghubungkan komuniti.

Perdana Menteri India, Narendra Modi pula menyifatkannya sebagai inisiatif kesalinghubungan yang besar dan bakal membolehkan generasi masa depan untuk melakar impian lebih besar.

Timbalan Penasihat Keselamatan Nasional AS, Jon Finer berkata, perjanjian itu akan memberi manfaat kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana di rantau terbabit.

“Ia juga akan membolehkan Asia Barat memainkan peranan kritikal dalam perdagangan global,” katanya kepada pemberita pada sidang kemuncak itu.

Dalam pada itu, pegawai AS memaklumkan bahawa antara sasaran kerjasama terbabit ialah menghubungkan negara-negara Asia Barat menerusi perkhidmatan kereta api, serta menghubungkan mereka dengan India melalui pelabuhan.

Menurut pegawai, ia juga akan membantu dari segi aliran tenaga serta perdagangan dari Teluk Arab ke Eropah dengan menjimatkan penggunaan masa, kos dan bahan air.

Memorandum Persefahaman (MoU) Koridor Ekonomi India-Asia Barat-Eropah (IMEC) berkenaan ditandatangani oleh Kesatuan Eropah, India, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, AS serta negara rakan G20 yang lain.

Menurut MoU itu, IMEC digambarkan sebagai mempunyai dua koridor berasingan, iaitu koridor timur menghubungkan India dengan Teluk Arab, serta koridor utara yang menghubungkan Teluk Arab dengan Eropah.

Di sepanjang laluan perkhidmatan kereta api pula, peserta MoU itu merancang untuk membina kabel tenaga dan talian data, selain saluran paip hidrogen daripada tenaga boleh diperbaharui bagi kegunaan penjanaan kuasa. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya