JAKARTA: Para peniaga di Pasar Tanah Abang, Jakarta Pusat mengeluh apabila jualan harian mereka semakin merosot akibat kedatangan pengunjung yang semakin menurun.
“Keadaan kini tidak lagi seperti dahulu yang kita boleh lihat kawasan ini dipenuhi pengunjung.
“Kini, ibarat jumlah pengunjung boleh dikira dengan jari, jualan kami juga semakin sepi,” kata seorang peniaga, Galih Budi, 23, yang menjual pakaian kanak-kanak di premis tersebut.
Keadaan itu juga menyebabkan beberapa kedai terpaksa menutup perniagaan mereka kerana tidak pulang modal.
Menurut Galik, situasi itu bermula ketika dunia dilanda pandemik Covid-19 yang menyebabkan banyak perniagaan dan perkhidmatan terhenti seketika.
“Boleh saya katakan kini tiada pengunjung datang untuk membeli.
“Sebelum ini, kami boleh raih untung jualan sehingga 3 juta rupiah (RM915) sehari, kini, tiada apa yang dapat,’ ujarnya.
Dalam pada itu, tinjauan Kompas.com juga mendapati para peniaga hanya duduk di dalam kedai mereka tanpa perlu melayani pelanggan kerana suasana sekitarnya lengang.
Ada dalam kalangan peniaga memaklumkan, kaedah berniaga secara dalam talian atau penstriman langsung juga menjadi antara faktor pasar itu tidak lagi menjadi pilihan ramai.
Katanya, peniaga tidak mahu melakukan kaedah serupa kerana barang jualan mereka premium dan kebanyakan jualan di dalam talian lebih murah.
“Kami terpaksa jual harga mahal dan jika berniaga dengan harga seperti itu di dalam talian atau live, pasti tiada sesiapa mahu beli.
“Hal ini kerana barangan yang dijual secara dalam talian dan live lebih murah,” kata mereka.