BEKASI: Seorang lelaki dari Bekasi dilaporkan sempat memandikan mayat isterinya selepas membunuh wanita itu dengan kejam menggunakan pisau dapur.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Cikarang Barat, Inspektor Said Hasan berkata, Nando, 25, melakukan perbuatan itu di rumah sewa di Cikarang Barat minggu lalu.
Suspek kemudian membawa mayat isterinya ke bilik air sebelum membaringkannya di atas katil dan menutup tubuh mangsa dengan tuala.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat ditetak suspek. Mayatnya dibawa ke bilik air dan kemudian dibersihkan.
“Selepas itu mayat dibawa ke katil. Selain memandikan mayat mangsa, suspek turut membasuh dan mengeringkan pakaian yang dipakai mangsa ketika itu,” katanya dipetik Kompas.com.
Menurut Said, suspek kemudian mengunci pintu rumah sewa dan menghantar dua anaknya ke rumah mertuanya sebelum menyerah diri di Balai Polis Cikarang Barat kelmarin.
“Suspek pulang memberitahu ibu bapanya apa yang dilakukannya. Suspek mengakui perbuatannya dan tampil menyerah diri. Hasil bedah siasat, mangsa meninggal dunia akibat luka parah di leher,” katanya.
Menurut Said, suspek kini didakwa dan bakal berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup.