JAKARTA: Seorang pengguna pinjaman dalam talian AdaKami dipercayai membunuh diri selepas diburu pengutip hutang dan kes tersebut menjadi tular dalam media sosial di negara ini.
Kes itu juga mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Lembaga Perkhidmatan Kewangan (OJK) yang meminta pengurusan AdaKami menjelaskan mengenai perkara tersebut.
Sebagai reaksi, AdaKami menzahirkan rasa sedih mengenai kes tersebut, namun mereka tidak menemukan sebarang kaitan antara pengutip hutang dengan si mangsa sehingga membunuh diri.
“Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung kes ini dan kami amat menyesali dengan apa yang berlaku.
“Sehingga kini, kami tidak menemukan kaitan mangsa membunuh diri disebabkan oleh ugutan pengutip hutang,” kata jurucakap AdaKami, Jonathan Kriss.
Insiden itu mula tular selepas satu akaun di Instagram menceritakan ahli keluarganya bunuh diri kerana tidak mampu bayar hutang di AdaKami, selain sering diburu pengutip hutang yang mengugut untuk mencederakannya.
Keluarga mangsa mendakwa lelaki itu membunuh diri pada Mei lalu, dan tidak mendedahkannya kepada umum atau membuat laporan polis kerana enggan membuka aib si mati.
Mangsa didakwa meminjam wang sebanyak 9.4 juta rupiah (RM2,860), namun perlu membayar balik duit itu berserta bunga berjumlah 18 juta rupiah (5,478).
Pengutip hutang yang memburu mangsa didakwa sering mengganggunya dengan menghubungi tempat kerjanya, mengikutinya pergi ke mana-mana dan melakukan pelbagai ugutan sehingga menyebabkan mangsa tertekan dan akhirnya membuat keputusan membunuh diri.