JAKARTA: Kementerian Penyelaras Bidang Politik, Undang-Undang dan Keamanan menyatakan Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024 boleh terganggu sekiranya jadual pendaftaran calon presiden (capres) dan naib presiden (cawapres) tidak dipercepatkan menjadi 10 Oktober ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh menterinya, Mahfud MD mengenai Pemilu 2024 yang dijangka berlangsung pada Februari depan.
“Jika tidak percepatkan tarikh pendaftaran capres dan cawapres, urusan Pemilu boleh terganggu dan tidak berjalan dengan lancar,” katanya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.
Katanya, jadual peringkat piihan raya dikawal selia melalui Peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (PKPU) setelah dipertimbangkan bersama Menteri Dalam Negeri, anggota Parlimen dan badan keselamatan.
Menurut Mahfud, terdapat kebimbangan apabila jadual pendaftaran capres dan cawapres yang sepatutnya berlangsung pada 19 Oktober ini dianjakkan ke 25 November.
“Jika kita tangguhkan pendaftaran capres dan cawapres, maka kita juga akan tangguhkan hari pengundian pada 14 Februari 2024.
“Hal ini kerana semua proses sudah tertangguh dan kita perlu menyusun balik agar semuanya berjalan lancar,” ujar Mahfud.
Sehubungan itu, KPU bercadang untuk mengawalkan jadual pendaftaran tersebut kepada 10 hingga 16 Oktober ini.
Mahfud menyifatkan keputusan tersebut sebagai tepat mengikut undang-undang pilihan raya.










