SINGAPURA: Pengiraan sampel menunjukkan calon Tharman Shanmugaratnam mendahului kiraan undi dalam Pilihan Raya Presiden republik itu.
Memetik Channel News Asia, keputusan itu disiarkan oleh Jabatan Pilihan Raya Singapura (ELD), malam tadi.
Berdasarkan kiraan sampel, Tharman yang juga bekas Menteri Kanan Singapura mendahului dengan memperoleh 70 peratus undi.
Bekas Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC Pte Ltd, Ng Kok Song berada di tempat kedua dengan 16 peratus undi, diikuti bekas NTUC Income Insurance Co-operative Ltd, Tan Kin Lian yang memperoleh 14 peratus undi.
“Kiraan sampel memberi petunjuk awal pilihan raya namun keputusan sebenarnya mungkin berbeza,” jelas ELD.
Sementara itu, pegawai pengurus pilihan raya, Tan Meng Dui berkata, proses pengiraan undi masih berjalan.
“Orang ramai harus menunggu pengumuman keputusan pilihan raya presiden yang akan disiarkan secara langsung di televisyen,” katanya.
Pengiraan sampel pertama kali disiarkan secara terbuka oleh ELD pada Pilihan Raya Umum 2015.
Pengiraan sampel itu dilakukan pada permulaan proses pengiraan.
Pilihan Raya Presiden Singapura kali ini menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Tharman Shanmugaratnam, Kok Song dan Kin Lian. – AGENSI